Tuesday 22 September 2015

Israel umum rancangan baharu


Israel umum rancangan baharu

22 SEPTEMBER 2015
 Kira-kira 3,700 warga China dilaporkan bekerja dalam sektor pembinaan di Israel.

TEL AVIV -  ISRAEL. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kelmarin mengumumkan rancangan untuk membawa masuk 20,000 pekerja binaan dari China untuk menjayakan projek pembinaan apartmen baharu kononnya sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kos perumahan di wilayah itu.

"Ia adalah satu langkah perlu untuk harga rumah lebih rendah memandangkan kos sara hidup adalah isu utama yang sering dibangkitkan di Tel Aviv," katanya.

Dalam satu kenyataan, jurucakap pejabat perdana menteri memaklumkan Knesset telah meluluskan rancangan selepas ia dibentangkan ketika pembukaan mesyuarat Kabinet.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Yehuda Weinstein dilaporkan menolak rancangan tersebut kerana beliau mendakwa Tel Aviv dan Beijing tidak menandatangani sebarang perjanjian kerjasama secara rasmi.

Ketika ini, pekerja dari China dibawa masuk ke Israel melalui kontrak ditandatangani syarikat antara kedua-dua negara lapor media MEM.

Sementara itu, Kementerian Kewangan memberitahu ribuan pekerja itu akan dibawa masuk tanpa perjanjian dua hala di samping mewujudkan mekanisme untuk memastikan hak mereka dilindungi selain mengelakkan orang tengah mengambil kesempatan bagi urusan permit.

Jun lalu, Beijing menegaskan bahawa mereka tidak akan membenarkan pekerja dari negara itu terlibat dengan projek penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang secara jelas melanggar undang-undang antarabangsa. 

Gaza tegang

 Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

firdaus_ibrahim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Seluruh penduduk Gaza kini dalam keadaan berjaga-jaga berikutan ketegangan yang berlaku akibat serangan dilakukan tentera Zionis hampir setiap hari.


Pengurus Media Aman Palestin di Gaza, Hamza Deirawi ketika dihubungi berkata, serangan bersenjata dilakukan tentera Israel di beberapa kawasan seperti di sempadan dan Pelabuhan Gaza.

“Mereka (tentera Israel) melancarkan serangan hampir setiap hari namun sehingga kini tiada kecederaan dilaporkan berlaku,” katanya.

Menurutnya, serangan itu tercetus selepas Israel dilapor bertindak balas terhadap beberapa tembakan peluru berpandu yang dilepaskan di wilayah Gaza ke kawasan penempatan haram.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hamza berkata, persiapan sambutan Aidiladha dalam kalangan penduduk Gaza adalah sederhana berikutan harga ternakan seperti lembu dan kambing mahal.

“Harga seekor lembu AS$3,200 (RM13,632) manakala AS$550 (RM2,343) untuk biri-biri,” katanya.

Menurutnya, seramai 100,000 daripada 1.9 juta penduduk di Gaza terkesan secara langsung akibat peperangan yang berlaku.

“Ramai yang tiada rumah kerana kediaman mereka dimusnahkan dalam beberapa siri serangan tentera Israel manakala 10,000 mengalami kecederaan,” katanya.

Katanya, bagi meraikan penduduk di Gaza, Aman Palestin akan menyembelih 20 lembu dan 132 biri-biri sempena Aidiladha.

“Manakala di Tebing Barat dan Baitulmaqdis, kita (Aman Palestin) juga akan menyumbang 10 lembu dan 67 biri-biri untuk ibadah korban,” katanya.

Katanya, dia menyeru orang ramai supaya terus menyumbang kepada ratusan ribu penduduk di Gaza.

“Sumbangan orang ramai terutama rakyat Malaysia sentiasa dialu-alukan dan jutaan terima kasih kepada mereka yang berbuat demikian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 September 2015 @ 5:05 AM

PEJUANG Palestin dalam misi latihan ketenteraan di sempadan Gaza.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79213#sthash.QhD5GzH1.dpuf

Banjirkan terowong kekang kegiatan ‘pengganas’


Sinai: Tentera Mesir membanjirkan terowong yang didakwa digunakan untuk menyeludup di sempadan Gaza-Mesir di Rafah kelmarin.

Ia didakwa sebahagian usaha pihak berkuasa negara itu untuk mengekang kegiatan ‘pengganas.’


Kerajaan Mesir berkata, terowong itu, dari Sinai ke Semenanjung Gaza digunakan oleh kumpulan militan untuk menyeludup senjata antara wilayah Palestin yang terkepung itu.

Tentera mengepam air dari Laut Mediterranean ke dalam paip bawah tanah terowong merentas sempadan itu dalam usaha menghalang penggunaannya sama sekali.

Mesir mula mengumumkan rancangan membanjirkan kawasan itu sebulan lalu dan kini merancang mengubahnya menjadi 18 kolam ternakan ikan di sepanjang sempadan 13 kilometer dengan Gaza itu.

Semenanjung Gaza yang dikuasai Hamas dikepung oleh Mesir dan Israel sejak 2007, kononnya untuk menghalang kumpulan militan di Semenanjung Sinai mengimport senjata.

Semenanjung Sinai ialah kubu kumpulan militan yang ada hubungan dengan Negara Islam (IS).

Bagaimanapun, penduduk Sinai berkata, mereka bergantung kepada perdagangan secara menyeludup menerusi terowong itu untuk hidup kerana tidak dipedulikan kerajaan Mesir sejak sekian lama.

Kerajaan Mesir kini dilapor menguatkuasakan undang-undang menghukum penjara seumur hidup ke atas mereka yang didapati bersalah kerana menyeludup. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 September 2015 @ 5:36 AM

AIR bertakung selepas terowong dibanjirkan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/79012#sthash.B7DPSsNx.dpuf