Friday 5 August 2016

Netanyahu punca Palestin hilang pekerjaan - SodaStream

DUNIA KHAMIS, 4 OGOS 2016 @ 2:11 PM

NETANYAHU bertanggungjawab memecat ratusan pekerja Palestin di firma SodaStream. - Foto Reuters


TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bertanggungjawab memecat ratusan pekerja Palestin di firma SodaStream, dan menjejaskan 'pulau keamanan' yang dicuba diwujudkan firma itu bagi penduduk Yahudi dan Israel.

 Bercakap ketika temubual eksklusif dengan Times of Israel, Ketua Pegawai Eksekutif SodaStream, Daniel Birnbaum, menuduh Netanyahu terbabit secara peribadi dalam proses birokratik yang memaksa syarikat itu memecat pekerja Palestin.

Menurut Birnbaum, ia bermula apabila SodaStream memutuskan ia memerlukan lebih banyak ruang dan memilih untuk menutup kilangnya di Tebing Barat.

Langkah itu, bagaimanapun disusuli dengan kempen memulaukan syarikat berkenaan yang dituduh pengkritik menghasilkan wang di atas tanah yang dicuri Israel. Walaupun Birnbaun menegaskan langkah itu dibuat secara sukarela, beliau berkata kerajaan Israel menuduh SodaStream terpaksa bertindak berikutan tekanan pergerakan pro-Palestin, selain memecat 500 pekerja Palestin di syarikat itu.

Bagaimanapun, ia menegaskan mahu mengekalkan 350 daripada 500 pekerja Palestin untuk bekerja di kilang barunya di Negev. Bagaimanapun, Birnbaum menegaskan sukar untuk mengekalkan bilangan itu kerana syarikat berkenaan cuma diberi permit mengupah 120 penduduk Palestin, yang kemudian dikurangkan kepada 74 sahaja.

 Sejak Februari lalu, 74 pekerja itu dilarang memasuki Israel dan permit mereka dibatalkan. "Nampaknya, 74 pekerja Palestin itu menjadi ancaman kepada agensi Netanyahu," kata Birnbaum yang merujuk pemimpin Israel itu sebagai 'Perdana Menteri konflik' dan menegaskan Netanyahu bertanggungjawab di atas perkara itu. - AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/179875

Israel roboh rumah warga Palestin


AFP - IMEJ menunjukkan sebuah rumah salah seorang warga Palestin yang dirobohkan oleh pihak berkuasa Israel semalam.


BAITULMUQADDIS – Tentera Israel telah bertindak merobohkan rumah dua lelaki warga Palestin di selatan Tebing Barat yang menembak mati empat warga Israel di sebuah kelab malam di Tel Aviv pada Jun lalu, kata pasukan tentera itu semalam.
“Atas arahan kerajaan, pasukan keselamatan telah memusnahkan kediaman dua pengganas yang melakukan serangan di pasar Sarona pada 8 Jun lalu dan membunuh empat orang awam serta mencederakan beberapa yang lain.
“Tentera memusnahkan kediaman Mohammad Makhamra di Hirbeit Ruqa dan Khaled Makhamrah di Yatta,” kata seorang jurucakap tentera.
Kedua-dua mereka yang me­rupakan sepupu didakwa bulan lalu di Mahkamah Daerah di Tel Aviv kerana membunuh, bersubahat untuk membunuh dan cubaan membunuh bersama seorang lagi suspek dari Yatta, selatan Hebron yang disyaki menyediakan mereka senjata.
Menurut agensi keselamatan dalam negeri Bet Shin, serangan itu dirancang sebagai tindak balas selepas serangan arson (perbuatan membakar dengan sengaja) pada Julai tahun lalu oleh kumpulan pelampau Yahudi di Tebing Barat dan membunuh tiga anggota sebuah keluarga Palestin termasuk seorang bayi berusia 18 bulan.
“Khaled Makhamrah mahu melakukan serangan balas terhadap Israel atas nama kumpulan militan Daesh semasa bulan Ramadan,” kata Shin Bet bulan lalu.
Israel sering merobohkan rumah-rumah penyerang Palestin sebagai satu langkah untuk menghalang serangan lanjut.
Keganasan di wilayah Palestin dan Israel sejak Oktober telah membunuh sekurang-kurangnya 219 warga Palestin, Israel (34), Amerika Syarikat (2) dan masing-masing seorang dari Eritrea dan Sudan. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0805&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4GPWP671x 
Hakcipta terpelihara