Seramai 477 tahanan Palestin peringkat pertama dibebaskan dan berjaya memasuki Semenanjung Gaza dengan selamat mengikut perjanjian pertukaran 1,000 banduan negara itu dengan seorang askar rejim Zionis, semalam.

Kesemua mereka dibebaskan selepas Gilad Schalit, 25, yang ditahan pejuang Hamas dalam satu pertempuran di sempadan Gaza, pada 2006 dihantar ke Mesir.

Sementara itu, baki lebih 500 tahanan akan dibebaskan dalam tempoh dua bulan berdasarkan perjanjian yang ditandatangani kerajaan Hamas dan Israel, baru-baru ini.

Saksi mendakwa mereka melihat konvoi pertama yang membawa tahanan Palestin dan ia dikawal secara ketat oleh pihak berkuasa merentasi sempadan Mesir sejurus sahaja Schalit tiba di Israel.

Konvoi pertama tersebut turut membawa tahanan wanita yang diiringi pasukan keselamatan dari Mesir.

Kesemua kawasan sempadan ditutup dan diisytiharkan sebagai zon bebas tentera untuk memastikan keselamatan konvoi yang membawa tahanan dibebaskan itu.

Kelmarin, Mahkamah Israel menolak empat petisyen yang cuba menghalang usaha penukaran antara tahanan Palestin dan askar Yahudi tersebut serta menegaskan mereka tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam dasar yang telah ditentukan kerajaan.