Dalam sembilan bulan pertama tahun ini saja, Israel membunuh 26 penduduk Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza serta secara purata mencederakan kira-kira 45 yang lain pada setiap minggu.
Dalam dua minggu yang terakhir, jumlah penduduk Palestin yang dibunuh dan cedera diserang rejim Zionis terus meningkat mendadak.
Sehingga artikel ini ditulis, seramai 33 penduduk Palestin terbunuh sejak 1 Oktober lalu dan majoriti yang terkorban ditembak askar Yahudi dalam bantahan termasuk yang melancarkan serangan terhadap warga Israel.
Lebih 2,000 penduduk Palestin cedera termasuk mereka yang terkena tembakan peluru hidup dan peluru getah yang dilepaskan askar Zionis.
Pada Januari 2011, seorang aktivis Tunisia, Sadri Khiari menulis satu artikel mengenai ‘kuasa keingkaran.’
Dalam artikel itu, Sadri memberitahu sejak bertahun-tahun dia tanpa jemu membaca kajian akademik mengenai politik Tunisia, ekonomi dan budaya.
Bagaimanapun, dia mendapati terdapat satu perkara yang hilang iaitu rakyat.
“Rakyat yang ingkar. Rakyat yang menentang kesukaran dalam kehidupan harian.
“Rakyat yang mengingatkan dunia mengenai kewujudan mereka dan melakar sejarah tanpa sebarang amaran selepas dilupakan terlalu lama,” katanya.
Menurutnya, tiada rakyat yang sukarela diperhambakan dan mereka tidak sabar menunggu penindasan terhadap mereka berakhir.
Setiap hari dan setiap saat tekanan semakin memuncak untuk menumbangkan penindas mereka.
Apa yang dikatakan sebagai kompromi kini bercampur perasaan tidak puas hati yang bakal meletuskan pemberontakan dan penentangan apabila tiba masanya.
Kini di Palestin, masa itu tiba sekali lagi dan apa yang bakal berlaku selepas ini masih belum jelas lagi.
Sejak beberapa minggu lalu ramai pihak meramalkan satu lagi kebangkitan atau intifada terbaru bakal muncul lagi.
Namun, selepas meneliti apa sebenarnya yang berlaku menunjukkan arus baru pemberontakan sudah meningkat sejak beberapa tahun lalu.
Kriteria penentangan ini yang spontan menunjukkan penglibatan golongan muda dan pergerakan yang secara terbuka menentang Israel.
Dalam erti kata lain, ini penentangan generasi baru Palestin.
Tidak mengejutkan apabila Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan pihak berkuasa Palestin masih berkeras mahu kebangkitan itu dihentikan.
Mahmoud dilaporkan merancang muncul di stesen televisyen Israel untuk meredakan ketegangan di rantau itu.
Namun, pihak berkuasa Palestin bukannya halangan pemberontakan itu meluaskan tetapi antara punca ia tercetus.
Intifada pertama dan kedua sebenarnya sangat berbeza.
Daripada melihat sejarah intifada itu, penentangan terbaru ini mungkin boleh difahami melalui beberapa kronologi antaranya bantahan besar-besaran golongan muda Palestin pada 15 Mac 2011.
Ia diikuti dengan tunjuk perasaan Hari Nakbah (hari bencana) pada tahun yang sama, mogok lapar sebagai tanda sokongan kepada aktivis dan kempen menghalang rancangan Prawer pada 2013.
Kini pada tahun ini, golongan muda di seluruh tanah bersejarah Palestin bangun menentang semula.
Seorang tahanan politik Palestin, Ameer Makhoul menulis satu artikel sepanjang penahanannya di penjara Israel ketika kebangkitan pada 2011.
Ameer menerangkan dalam pemerintahan diktator semua berjalan lancar sehinggalah ‘15 minit yang terakhir’.
“Tiada penindasan tanpa penentangan.
“Hanya masa yang terus berjalan dan perlahan-lahan tanpa dijangka semangat keperwiraan rakyat muncul,” katanya.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang merayu ‘keamanan dan kestabilan’ dikembalikan sudah pasti mahu meneruskan penjajahan secara ‘senyap’ di tanah Palestin dan penentangan penduduk ‘disembunyikan’.
Sebaliknya apa yang berlaku kini, golongan muda Palestin terus menentangnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 12:28 PM
PEMUDA Palestin membaling batu ke arah askar Israel.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86575#sthash.7r0xIlY0.dpuf