Kelulusan itu merupakan sokongan terbaharu kepada pihak berkuasa Palestin untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa, selepas tindakan sama dilaksanakan oleh Dewan Rendah Britain dan Sweden.
Usul itu menggesa kerajaan Ireland mengiktiraf Palestin secara rasmi dan mengambil pendekatan untuk membantu memastikan pembentukan dua negara sebagai penyelesaian kepada konflik Israel-Palestin, supaya penduduk kedua-dua wilayah tersebut boleh hidup secara aman dan selamat.
Anggota Parlimen daripada semua parti menyatakan soko­ngan penuh dan usul itu diluluskan tanpa sebarang pengundian dibuat.
Ketika membentangkan rang undang-undang itu, seorang senator daripada parti pembangkang, Averil Power berkata, Ireland perlu menyatakan pendirian bahawa pembentukan sebuah negara merupakan hak penduduk Palestin, dan bukan menjadi bahan tawar menawar untuk digunakan oleh Israel dalam rundingan damai palsu pada masa depan.
“Melalui tindakan ini, kita akan membantu meningkatkan tekanan ke atas Israel bagi mencapai proses damai yang sahih dan mencapai keamanan serta keadilan untuk penduduk Palestin dan Israel,’’ katanya.
Kerajaan Ireland tidak terikat daripada segi undang-undang untuk melaksanakan keputusan usul itu yang dikemukakan oleh seorang anggota Parlimen daripada parti pembangkang di Dewan Senat.
Power berkata, Menteri Luar Ireland, Charlie Flanagan akan hadir di Dewan Senat pada November ini untuk membincangkan isu tersebut. – AFP