Sunday, 10 May 2015

‘Rosaklah rancangan damai’

Ramallah: ‘Kerajaan perang’ berhaluan kanan baru Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilihat mampu merosakkan lagi proses kedamaian, kata Palestin yang berazam ‘melawannya’ di peringkat antarabangsa.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menyelar Kabinet baru itu sebagai ‘pelampau’ selepas Netanyahu mengumumkan kerajaan campuran yang memberikannya majoriti kecil di Parlimen selain turut termasuk menteri yang menentang penyelesaian dua negara yang dicadangkan negara dunia.

Antara yang dilihat paling kontroversi adalah menteri kehakiman baru Israel, Ayelet Shaked (gambar) yang tahun lalu dilaporkan menggelar orang Palestin sebagai ‘ular’ yang wajar dihapuskan di laman Facebooknya.

Ketua perunding Palestin Saeb Erakat berkata dalam satu kenyataan: “Wajah baru Israel yang lebih perkauman dan mengamalkan diskriminasi kini didedahkan.

“Jelas Netanyahu berusaha keras menghancurkan penyelesaian dua negara. Kehadiran menteri yang berhaluan pelampau (Ayelet Shaked) membuktikan kerajaan itu memperjuangkan peperangan dan menentang keamanan serta kestabilan.”

Kerajaan baru Netanyahu itu yang ditubuhkan pada saat akhir beberapa minggu selepas menang pilihan raya untuk kali ketiga turut merangkumi menteri yang menyokong peluasan pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis - isu yang selama ini merosakkan rundingan keamanan dengan Amerika Syarikat (AS) sebagai orang tengah.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas sebelum ini dilaporkan berkata dia bersedia berbincang dengan sesiapapun yang dilantik memimpin Israel, namun pemilihan Kabinet yang diumumkan kelmarin jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Palestin.

Pegawai kanan Palestin Nabil Shaath berkata: ‘Tidak syak lagi ini memang Kabinet peneroka dianggotai golongan yang mahu memperkukuhkan kedudukan Israel.”

Sementara itu, Hamas menganggap Kabinet baru itu jelas membuktikan mentaliti perkauman semakin menular dalam kalangan orang Israel. - AFP

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49673#sthash.9lz7EyTW.dpuf