• Seorang rakyat Palestin yang diusung ke ambulans selepas ketibaannya di lapangan terbang, awal semalam. - Foto ReutersSeorang rakyat Palestin yang diusung ke ambulans selepas ketibaannya di lapangan terbang, awal semalam. - Foto Reuters

TURKI. Turki telah memindahkan empat rakyat Palestin yang cedera dari Gaza ke negara itu untuk mendapatkan rawatan, lapor Today Zaman.

Menurut laporan itu juga, Turki sedang berusaha untuk memindahkan lebih 200 orang lagi dalam misi bantuan fasa pertama tersebut.

Ambulans udara dari Kementerian Kesihatan Turki berlepas dari Tel Aviv dan telah mendarat di bandar Turki.

Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu , isterinya, Dr Sare dan Menteri Kesihatan, Mehmet Muezzinoglu menyambut pesakit-pesakit tersebut yang terdiri daripada tiga wanita dan seorang remaja di Lapangan Terbang Ankara Esenboga.

Rakyat Palestin yang cedera itu kemudiannya dibawa ke Hospital Penyelidikan dan Latihan Ankara Ataturk serta Hospital Penyelidikan dan Latihan Dıskagı Yıldırım Beyazıt dengan ambulans.

“Rakyat yang cedera dari Gaza telah mula tiba. Kami akan teruskan kerja kemanusiaan ini,” kata Davutoglu kepada pemberita ketika ditemui di lapangan terbang.

Davutoglu turut melahirkan harapannya agar genjatan senjata yang berlangsung antara Israel dengan Gaza akan diteruskan.

Menurutnya, usaha Turki itu merupakan hasil persetujuan pada koridor udara yang dicapai Amerika Syarikat, Turki, Qatar dan beberapa negara lain dalam mesyuarat 25 Julai lalu di Paris bagi memindahkan rakyat Palestin yang cedera.

Namun sebelum ini, ia tidak dapat dilaksanakan gara-gara pencabulan terhadap gencatan senjata selama 72 jam itu.

Empat rakyat yang cedera itu tiba di Turki sehari selepas Israel dan Palestin bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata lagi selama 72 jam.

Sementara Muezzinoglu berkata, 200 pesakit lagi akan dipindahkan ke Turki sekiranya tiada masalah dengan koridor udara.

Sebelum ini, Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan pemindahan itu selepas memenangi pemilihan Presiden berdasarkan keputusan tidak rasmi.

Selepas keputusan rasmi diketahui, Erdogan mengumumkan pula pelancaran koridor udara dalam ucapan kemenangannya, Ahad lalu.