• Masyarakat dunia kini bersatu melancarkan boikot besar-besaran ke atas produk keluaran Israel sebagai bantahan terhadap serangan terbaharu rejim Zionis ke atas Genting Gaza.Masyarakat dunia kini bersatu melancarkan boikot besar-besaran ke atas produk keluaran Israel sebagai bantahan terhadap serangan terbaharu rejim Zionis ke atas Genting Gaza.

MASYARAKAT dunia ketika ini menyambut seruan memboikot produk keluaran Israel selepas serangan tidak berperikemanusiaan rejim Zionis meragut hampir 2,000 nyawa di Genting Gaza.

Kempen yang sedang giat dijalankan sejak bulan lalu itu bukan sahaja dilancarkan di negara Islam seperti Malaysia malah negara Barat turut menyokong usaha pemulauan secara besar-besaran tersebut.

Tel Aviv mengambil kesempatan meneruskan cengkaman mereka ke atas wilayah itu dengan meluaskan projek pembinaan penempatan haram Yahudi dan merampas tanah penduduk Palestin sejak pencerobohan pada 1948.

Perjanjian Oslo yang ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel kira-kira 20 tahun lalu dilihat hanya memberi keuntungan pada sebelah pihak.

Susulan daripada itu, sebanyak 170 pertubuhan di Palestin termasuk kesatuan utama, pelbagai rangkaian peringkat akar umbi dan parti politik mewujudkan sebuah visi alternatif untuk mencapai kebebasan serta keadilan berdasarkan hak keseluruhan penduduk Palestin.

Pada 2005, gerakan boikot, lupus dan sekat Israel (BDS) ditubuhkan bertujuan memberi tekanan secara langsung kepada Israel untuk menghentikan penindasan ke atas penduduk Palestin.

BDS kini berjaya meraih sokongan daripada kesatuan sekerja, kumpulan keagamaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan peringkat akar umbi di seluruh dunia.

Ramai tidak sedar kempen yang digerakkan sejak sembilan tahun lalu telah mencapai objektif dan matlamatnya sejak akhir-akhir ini.

Apakah gerakan boikot, lupus, sekat?

Gerakan global untuk kempen boikot, lupus dan sekat (BDS) Israel itu bertujuan menuntut hak penduduk Palestin dan menggesa Tel Aviv mematuhi undang-undang antarabangsa.

Ia diselaraskan oleh Jawatankuasa BDS Palestin (BNC) yang ditubuhkan pada 2007.

BDS merupakan strategi memberi kesedaran kepada orang ramai supaya memainkan peranan berkesan bagi menyokong perjuangan penduduk Palestin.

Lebih enam dekad, Israel bertindak menafikan hak kebebasan dan kesamaan penduduk Palestin melalui pembersihan etnik, pencerobohan, diskriminasi kaum serta tindakan ketenteraan.

Walaupun menerima kecaman antarabangsa, masyarakat dunia masih gagal menghukum Israel dan kekejaman rejim Zionis terus bermaharajalela.

Kegagalan itu menyebabkan pertubuhan awam Palestin memutuskan untuk meraih sokongan masyarakat antarabangsa menerusi kempen BDS dilancarkan pada 9 Julai 2005.

Langkah itu dibuat kira-kira setahun selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengumumkan pembinaan tembok pemisah yang merentasi Tebing Barat adalah menyalahi undang-undang.

Susulan daripada itu, BNC menggesa masyarakat seluruh dunia supaya memboikot, melaksanakan inisiatif, menghentikan pelaburan dan mengenakan sekatan ke atas Israel sehingga penduduk Palestin mendapat semula hak mereka mengikut undang-undang antarabangsa.


Jejas ekonomi Israel
Bulan lalu, Menteri Kewangan Israel, Yair Lapid memberi amaran bahawa peningkatan kempen boikot di seluruh dunia didakwa boleh memberi impak besar terhadap ekonomi negara itu.
Menurut laporan akhbar Haaretz, pemulauan besar-besaran telah menyebabkan penurunan sebanyak 20 peratus dalam jumlah eksport Israel.

Sementara itu, Ketua Jawatankuasa Pertanian di Lembah Jordan, Zvi Avner memaklumkan, jualan hasil pertanian seperti lada dan anggur dieksport ke Eropah Barat menurun kepada kira-kira 50 peratus pada tahun lalu, sekali gus menyebabkan kerugian AS$29 juta (RM93 juta).

Difahamkan, ekonomi Israel mula terima kesan selepas Eropah yang mengimport pelbagai produk dari negara itu bertindak menggerakkan kempen boikot tersebut sejak 2009.

Sebelum ini, kerajaan Israel dengan angkuh menyatakan kempen boikot tersebut kononnya tidak masuk akal.

Bagaimanapun, kebimbangan Israel meningkat selepas usaha pemulauan itu mula memberi kesan kepada mereka.