Tuesday, 12 August 2014

Impian lihat semula bapa berkecai


Walaupun keganasan Israel di Gaza memusnahkan harapan untuk menyambut perayaan itu dengan gembira, Mohamed masih menaruh harapan tinggi. 
Tetapi, beberapa hari kemudian, dengan ibu dan bapa saudaranya berdiri di sebelahnya di Hospital Al-Shifa, Mohamed memberitahu wartawan: “Semua impian saya berkecai selepas keganasan Israel menggelapkan kehidupan saya dan mencederakan semua adik-beradik saya.” 

Sejurus selepas solat Isyak pada hari terakhir Ramadan, Mohamed dan keluarganya tidur dengan aman di rumah mereka.
Foto
MOHAMED

Sebelum itu, dia sudah aturkan pakaian baru yang dibeli ibu dan adik beradiknya yang lain.

Mereka masuk tidur dengan harapan ibunya akan mengejutkannya pada awal pagi. Dia tidak tahu bahawa matanya akan tertutup selama-lamanya selepas itu. 

Dua bedilan kereta kebal Israel menyasarkan rumah mereka malam itu, memusnahkan bilik tidurnya dan mencederakan Mohamed serta enam adik beradiknya yang lain. 

“Mereka tidur dengan nyenyak. Bapa mereka bersiap sedia untuk membawa mereka mengunjungi saudara mereka yang lain pada hari raya pertama. Tetapi mereka sebaliknya dibawa ke hospital,” kata bapa saudaranya. 

Semua pakaian Mohamed dan adik beradiknya yang dibeli untuk sambutan hari raya terbakar. Mainan yang dibeli ibu bapanya juga hancur. 

Kecederaan yang dialaminya menyebabkan dia tidak dapat melihat impian untuk bergembira pada hari raya terlaksana. Malah dia mungkin tidak dapat melihat lagi wajah ibu bapanya atau melihat warna mainan dan pakaiannya. 

Mohamed dan seorang adiknya cedera parah. Walaupun tidak buta sama sekali, dia kehilangan kedua-dua belah mata. 

Doktor berkata, terdapat sedikit harapan untuk membolehkan dia melihat semula menerusi mata yang didermakan atau mata palsu. 

Selepas lima daripada adik dan abangnya pulang dari hospital, ibu Mohamed berbelah bahagi - antara mahu menemani anaknya itu atau bersama-sama dengan abang dan adiknya yang lain. 

Sepanjang lebih sebulan keganasan Israel di Gaza, tentera rejim itu membunuh kira-kira 1,900 rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 9,000 lagi. 

Kebanyakan mereka, menurut statistik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, orang awam. Sekurang-kurangnya 400 kanak-kanak adalah antara yang mati. 

Kisah Mohamed menjadi terkenal dalam kalangan penduduk di Palestin dan di luar negara. Ramai doktor dan badan kebajikan menawar untuk merawatnya sehingga dia boleh melihat semula. 

Ia memberi harapan kepada Mohamed bahawa satu hari nanti dia akan dapat melihat semula wajah ibu bapanya. 

Tetapi ketika dia berangan-angan, tentera Israel membunuh bapanya pagi kelmarin ketika dia menunaikan solat Subuh di Masjid Al-Qassam di kem pelarian Al-Nusairat. 

Sebuah pesawat F16 Israel menggugurkan bom ketika penduduk bersolat, menyebabkan lima orang terbunuh dan kira-kira 10 lagi cedera. 

Bapa Mohamed, Nidal Badran, adalah antara yang maut. Kini harapan Mohamed untuk melihat wajah bapanya semula musnah sama sekali.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

No comments:

Post a Comment