Tuesday, 12 August 2014

Gencatan senjata disambung lagi


Gencatan senjata yang bermula pada tengah malam waktu tempatan adalah hasil rundingan yang diselia Mesir bagi menghentikan peperangan yang sudah mengorbankan 1,939 rakyat Palestin dan 67 warga Israel, hampir semuanya tentera. 
Sepuluh jam selepas gencatan senjata terbaru itu dilaksanakan, tiada sebarang pencabulan dilakukan kedua-dua pihak dan kelihatan orang ramai mula memasuki kawasan yang sebelum ini sepi. 

Kedai dan perniagaan dilihat memulakan semula operasi mereka dan sebilangan penduduk boleh dilihat membeli-belah pada awal pagi.Foto
KEADAAN Masjid yang dimusnahkan tentera yahudi dalam serangan yang dilancarkan di Khan Yunis.
Foto
AHLI keluarga Ihsan al-Agha yang menjadi korban serangan udara Israel sebelum gencatan senjata dilaksanakan, gagal menahan emosi ketika majlis pengebumiannya di Khan Yunis.

Di perkarangan sekolah kelolaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), beberapa kenderaan dilihat menanti untuk membawa pulang penduduk yang terpaksa melarikan diri apabila ia dibom tentera Israel.

Seorang penduduk, Hikmat Atta, 58, berkata, dia dan keluarganya mahu pulang dan melihat keadaan kediaman mereka di Beit Lahiya, namun terpaksa berhati-hati dan tidak mahu mengambil risiko untuk terus berada di kawasan itu. 

“Kami hanya akan pergi ke sana pada waktu siang dan kembali ke sini sebelah malam,” katanya. 

Mesir menggesa kedua-dua pihak menggunakan tempoh bertenang selama tiga hari itu bagi mencapai persetujuan untuk “gencatan senjata yang kekal dan menyeluruh”, selepas usaha melanjutkan tempoh gencatan senjata minggu lalu gagal berikutan serangan kejam yang bertali arus dilakukan tentera Israel. 

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon berkata, gencatan senjata itu itu sekali lagi “membuka peluang kedua-dua pihak untuk bersetuju mengadakan gencatan senjata berpanjangan. 

Pemimpin Hamas, Khaled Meshaal berkata, mereka mendesak Israel menghentikan kepungan yang dilakukan selama lapan tahun ke atas Gaza dan itu adalah syarat utama bagi mereka bersetuju dengan sebarang perjanjian. 

“Jika Israel cuba berlengah atau meneruskan serangan, Hamas dan kumpulan pejuang lain bersedia untuk menentang mereka di medan perang atau secara politik,” katanya. 

Sementara itu, perunding veteran Palestin, Saeb Erakat tiba di Kaherah kelmarin bagi mewakili Presiden Mahmud Abbas untuk mengadakan rundingan dengan Mesir dan wakil Liga Arab manakala wakil Israel tiba semalam. 

Kedua-dua pihak dijangka meneruskan rundingan yang tertangguh Jumaat lalu selepas Hamas menolak cadangan melanjutkan gencatan senjata kerana kedegilan Israel untuk menarik balik kepungan ke atas Gaza. 

Ketua delegasi Palestin di Kaherah, Azzam al-Ahmed berkata, mereka lebih selesa jika pihak berkuasa Palestin mengambil alih urusan pembangunan semula Gaza dan menjalankan sebarang persetujuan yang dicapai dalam rundingan itu. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

No comments:

Post a Comment