BAITULMAQDIS 11 Ogos - Israel dan Hamas melaksanakan gencatan senjata baharu selama 72 jam di Genting Gaza bermula malam tadi waktu tempatan (5 pagi waktu Malaysia).
Tentera Israel berkata, tiada roket dilancarkan ke arah Israel hari ini dan tentera rejim Zionis itu tidak menyasarkan sebarang lokasi di Genting Gaza sejak pelaksanaan gencatan senjata tersebut.
Keadaan itu membenarkan rundingan damai disambung semula di Kaherah, Mesir yang menyaksikan kerajaan negara tersebut bertindak sebagai orang tengah.
Pasukan perunding Israel dilaporkan tiba di Kaherah hari ini bagi menyertai rundingan damai tersebut.
Hampir 2,000 rakyat Palestin terbunuh, sementara hampir 70 rakyat Israel maut dan beribu-ribu rumah musnah sejak konflik itu bermula pada bulan lepas.
Di Kaherah, Kementerian Luar Mesir menyatakan, gencatan senjata terbaharu itu akan membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar ke kawasan perumahan di Gaza yang teruk diserang Israel selain membuka semula rundingan damai antara kedua-dua pihak bertelagah.
Hamas mahu Israel menamatkan sekatan ke atas Gaza, manakala rejim Zionis itu mahu pergerakan tersebut memusnahkan senjata termasuk roket.
Anggota delegasi Palestin, Qais Abdelkarim berkata, rundingan damai dengan Israel yang menyaksikan kedua-dua pihak bertemu pegawai Mesir secara berasingan itu bermula hari ini. - AGENSI/AFP
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140812/lu_03/Gencatan-senjata-baharu-di-Gaza#ixzz3A81SoE3z
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment