Tuesday, 12 August 2014

Gaza kembali tenang


SEKUMPULAN nelayan menangkap ikan semasa gencatan senjata selama 72 jam berlangsung di Bandar Gaza semalam.


BANDAR GAZA - Gencatan senjata selama 72 jam di Gaza dikuatkuasakan semalam ketika wakil-wakil Palestin dan Israel mengadakan rundingan di Kaherah bagi mencari jalan penyelesaian jangka panjang untuk menamatkan pertempuran yang berlangsung hampir sebulan lalu
Gencatan senjata bermula selepas tengah malam kelmarin itu diadakan hasil usaha Mesir sebagai pengantara bagi menamatkan keganasan yang berlangsung lebih empat minggu lalu sehingga menyebabkan kematian 1,939 penduduk Palestin dan 67 warga Israel.
Sepuluh jam selepas gencatan dipersetujui, ruang udara Gaza kembali tenang, tiada keganasan dilaporkan daripada kedua-dua belah pihak dan tiada amaran kecemasan dihidupkan di kawasan yang dihuni 1.8 juta penduduk Palestin.
Kedai-kedai dan perniagaan di Bandar Gaza kembali beroperasi semula.
Di luar sebuah sekolah yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, deretan kereta dan keldai menunggu untuk membawa para pelarian pulang ke rumah mereka selepas berpindah semasa pertempuran meletus.
"Kami mahu balik dan melihat apa yang berlaku ke atas rumah kami," kata seorang pelarian, Hikmat Atta, 58, yang tinggal di selatan bandar Beit Lahiya.
Bagaimanapun, gencatan itu masih di peringkat awal dan dia tidak meletakkan harapan yang tinggi ia akan berakhir buat selama-lamanya.
"Kami cuma balik untuk sehari dan akan datang semula ke sini," katanya kepada agensi berita AFP.
Dalam pada itu, seorang nelayan, Sameer al-Hissi berkata, dia hanya dapat menangkap ikan-ikan kecil selepas dua jam berada di pesisiran laut.
Menurutnya, laut itu kini banyak dicemari dengan kumbahan berbau sejak Israel menyerang stesen jana kuasa yang membekalkan elektrik ke loji rawatan.
"Kumbahan yang mencemari laut menjejaskan hasil tangkapan ikan," kata seorang nelayan berusia 52 tahun itu yang menunjukkan dia hanya dapat menangkap 14 ekor ikan kecil.
Katanya, sebelum peperangan berlaku pada 8 Julai lalu, dia menangkap ikan menggunakan bot di pelabuhan Gaza dan boleh belayar sehingga tiga batu nautika seperti yang dihadkan tentera Israel.
Bagaimanapun kini, katanya, dia terpaksa menghabiskan masa dua jam setiap pagi di pesisiran pantai dengan menggunakan jaring kecil untuk membawa pulang hasil tangkapan kepada keluarganya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0812&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3A8FIda3J 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment