Saturday 15 June 2013

palestin

Israel rancang bina penempatan haram Yahudi di Itamar, Bruchin


Gambar fail bertarikh 24 April tahun lalu, merakamkan kawasan perumahan haram Israel di Bruchin berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat. Israel sedang menanti kelulusan membina beratus-ratus buah rumah di Bruchin dan Itamar, utara Tebing Barat. - AFP
BAITULMAQDIS 13 Jun - Israel kini menunggu kelulusan untuk membina beratus-ratus rumah di kawasan penempatan haram Yahudi di Itamar dan Bruchin, utara Tebing Barat.
Akhbar Jerusalem Post melaporkan, rancangan untuk membina 538 rumah baru di Itamar dan mengesahkan dari segi undang-undang pembinaan sebanyak 137 rumah sedia ada di sana, telah diserahkan kepada pihak berkuasa perancangan wilayah pada minggu ini.
Akhbar itu melaporkan pelan pembinaan 550 rumah baru di Bruchin turut diserahkan untuk penilaian.
Tindakan itu berlaku ketika Amerika Syarikat (AS) berusaha menghidupkan semula rundingan damai antara Israel dan Palestin, di mana isu penempatan haram Yahudi menjadi cabaran utama menghalang pelaksanaannya.
Setiausaha Negara AS, John Kerry dijangka menemui pemimpin Palestin dan Israel pada minggu ini, namun Jabatan Negara AS menyatakan beliau terpaksa menangguhkan lawatan tersebut bagi memberi fokus kepada rundingan berhubung krisis Syria.
Pegawai AS menegaskan bahawa Kerry memberi tumpuan sepenuhnya dalam usaha damai Palestin-Israel dan menyatakan beliau akan menjadualkan semula lawatannya itu secepat mungkin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130614/lu_03/Israel-rancang-bina-penempatan-haram-Yahudi-di-Itamar-Bruchin#ixzz2WERmkjo4
© Utusan Melayu (M) Bhd