Pertempuran yang berlanjutan selama beberapa jam di bandar Jenin di utara Tebing Barat itu merupakan insiden keganasan paling buruk berlaku di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tentera Israel dalam satu ken­yataan berkata, serbuan itu dibuat bagi menangkap seorang anggota kanan Hamas.
“Semasa operasi itu berlangsung, gesaan berulang kali dibuat bagi meminta anggota berkenaan menyerah diri. Pasukan keselamatan kemudian memusnahkan rumah tersebut yang dipercayai lokasi persembunyian anggota Hamas berkenaan.
“Satu rusuhan ganas membabitkan beratus-ratus penduduk Palestin berlaku di kawasan itu. Mereka bertindak melontar batu dan bom petrol ke arah pasukan keselamatan. Seorang anggota polis sempadan cedera akibat serangan tersebut,’’ katanya.
Sumber pasukan keselamatan Palestin dan saksi berkata, pertempuran itu turut menyaksikan insiden berbalas tembakan antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Israel.
Lima penduduk Palestin ce­dera dalam pertempuran itu.
Kata sumber, rumah yang menjadi sasaran pasukan keselamatan Israel adalah kepunyaan seorang pegawai Hamas, Majdi Abu al-Hija yang kemudiannya ditahan.
Tambahnya, seorang pejuang daripada kumpulan Jihad Islam berjaya melarikan diri semasa serbuan itu.
Kem pelarian itu menempatkan kediaman ramai anggota Hamas dan Jihad Islam. – AFP