NEW YORK - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin sebulat suara menyuarakan kebimbangan berikutan kenyataan Israel berhubung tuntutan haram Bukit Golan yang terletak di sempadan negara itu dengan Syria.
Duta PBB China, Liu Jieyi, yang juga Presiden Majlis Keselamatan 15 anggota berkata, resolusi Majlis 497 pada tahun 1981 menjelaskan bahawa keputusan Israel untuk mengenakan undang-undang, bidang kuasa dan pentadbiran di Golan adalah terbatal, tidak sah serta tidak mendapat kebenaran undang-undang antarabangsa.
"Ahli Majlis menyuarakan kebimbangan berhubung kenyataan Zionis tentang Golan, dan menegaskan bahawa status Golan masih kekal tidak berubah," katanya.
Difahamkan, kenyataan Majlis turut mendapat persetujuan semua negara anggota termasuk negara sekutu Israel, AS.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata Israel tidak akan melepaskan Bukit Golan selepas dirampas dari Syria pada 1967, dan wilayah tersebut akan menjadi sebahagian daripada Tel Aviv untuk selama-lamanya.  - Reuters