Saturday 23 November 2013

Krisis kemanusiaan meruncing di Gaza

Krisis kemanusiaan meruncing di GazaKebanyakan penduduk Gaza masih bergantung dengan bantuan kemanusiaan yang diberikan oleh negara antarabangsa.

GENTING GAZA - PALESTIN. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan semakin meruncing di Gaza akibat sekatan Israel.

Penyelaras bagi bantuan Kemanusiaan PBB, James Rawley memaklumkan tidak banyak perubahan dapat dilihat selepas insiden serangan ganas Israel kira-kira 12 bulan lalu.

"Situasi di Gaza semakin buruk selepas wilayah itu mengalami krisis bekalan kuasa elektrik yang berpunca daripada kekurangan bekalan bahan api," katanya pada laporan Press TV.

Dalam satu kenyataan, agensi bantuan antarabangsa, Oxfam turut menyelar sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis kerana ia telah menjejaskan urusan harian penduduk Palestin.

Selain itu, Rangkaian Pertubuhan Bukan Kerajaan Palestin (PNGO) yang mewakili lebih 130 organisasi awam di wilayah tersebut bertindak menggesa negara antarabangsa untuk memecahkan sekatan haram Israel terbabit.

Kebanyakan penduduk Gaza masih bergantung dengan bantuan kemanusiaan yang diberikan oleh negara antarabangsa.