TEL AVIV 9 Nov. – Kira-kira 53 peratus penduduk Israel melahirkan sokongan terhadap pembunuhan penduduk Palestin secara sewenang-wenangnya oleh pihak berkuasa Israel walaupun mangsa tidak mendatangkan ancaman.
Data yang diperolehi daripada tinjauan orang ramai yang diterbitkan Institut Demokrasi Israel itu sekali gus melambangkan sikap keras hati pendatang haram Yahudi ketika kekacauan terus merebak di Tebing Barat dan Genting Gaza.
Tinjauan itu yang dijalankan terhadap 600 orang responden dalam tempoh dua hari pada penghujung Oktober lalu, menilai sikap penduduk Israel sama ada Yahudi dan penduduk Palestin di Israel.
Lebih mengejutkan menurut laporan Al Jazeera, kajian itu mendapati sebanyak 80 peratus daripada responden percaya, kediaman keluarga individu Palestin yang melancarkan serangan, perlu dimusnahkan sama sekali.
Sejak Oktober lalu, tentera Israel atau peneroka haram Yahudi membunuh sekurang-kurangnya 77 penduduk Palestin dengan kematian terbaharu melibatkan seorang wanita yang didakwa melancarkan serangan pisau terhadap pasukan keselamatan di sebuah pusat pemeriksaan.
Keganasan sama turut mengakibatkan kematian melibatkan 10 orang penduduk Israel.
Rentetan serangan yang kebanyakannya menggunakan benda tajam mahupun kenderaan, pemimpin Israel meminta pihak berkuasa membunuh penduduk Palestin yang didakwa melakukan serangan dengan perkara itu diusulkan ahli Parlimen Israel, Yair Lapid dan Menteri Keselamatan, Gilad Erdan.
Malah di Baitulmaqdis, Ketua Polis Bandar, Moshe Edri berkata, setiap penduduk Palestin yang melancarkan serangan ‘berkemungkinan besar dibunuh’.
Bagaimanapun, langkah pembunuhan secara sewenang-wenangnya itu menerima tentangan kumpulan hak asasi manusia Israel yang mewakili sembilan pertubuhan bukan kerajaan.
“Ahli politik dan pegawai kanan polis tidak membantu untuk meredakan ketegangan dan mententeramkan orang ramai,’’ kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
Dalam kejadian berasingan, sekumpulan peneroka haram Yahudi dilapor merampas tanah pertanian milik penduduk Palestin dalam kejadian di Kampung Jalbun, timur bandar Jenin.
Menurut sumber tempatan kepada Pusat Maklumat Palestin (PIC), peneroka haram bertindak membuang pagar besi di tanah itu sebelum menghalau petani Palestin dari situ.