Sunday 1 November 2015

Bayi Palestin mati terhidu gas tentera Israel



DUA doktor memeriksa mayat Ramadan di sebuah hospital di Tebing Barat kelmarin.- AFP


BAITULMUQADDIS – Seorang bayi lelaki Palestin meninggal dunia kelmarin selepas sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan oleh askar rejim Zionis dalam keganasan terbaharu di Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, kata beberapa pegawai Palestin.
Bayi berusia lapan bulan itu, Ramadan Thawabteh merupakan mangsa terbaharu gelombang keganasan yang meletus sejak sebulan lalu di Baitulmuqaddis.
Dalam pada itu, Baitulmuqaddis menyaksikan serangan pisau buat pertama kali sejak dua minggu lalu apabila seorang warga Palestin berusia 23 tahun menikam seorang pelancong Amerika Syarikat kelmarin.
"Mangsa mengalami cedera ringan, manakala penyerang itu ditembak mati," kata polis.
Menurut polis Israel, dua warga Palestin lain ditembak di bandar Nablus, Tebing Barat selepas mereka cuba menikam beberapa askar Israel di sebuah pos pemeriksaan.
Seorang warga Palestin itu meninggal dunia, manakala rakannya yang cedera ditahan.
Kematian itu berlaku ketika beratus-ratus belia Palestin menunjuk perasaan dengan membaling batu, bom api dan tayar ke arah askar-askar Israel di bandar Hebron, Tebing Barat.
Tentera Rejim Zionis kemudian bertindak balas dengan menembak gas pemedih mata dan getah peluru untuk menyuraikan mereka. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1101&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3qC9xKINU 
Hakcipta terpelihara