Tuesday 7 May 2013

Status Palestin dinaik taraf




6 Mei 2013
Mahmoud Abbas
Denmark dan Finland berharap pengiktirafan itu memberi galakan kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menyelesaikan konflik dengan Israel.
COPENHAGEN - Denmark dan Finland merancang menaik taraf status pejabat perwakilan Palestin di negara masing-masing kepada kedutaan, menurut Kementerian Luar di Copenhagen, kelmarin.

Dalam satu kenyataan, Menteri Luar Finland, Villy Soevndal dan rakan sejawatnya di Denmark, Erkki Tuomioja sepakat mengumumkan keputusan itu yang dianggap sebagai langkah awal untuk bekerjasama dengan penduduk Palestin.

"Perubahan ini penting bagi memberi tumpuan kepada Palestin dalam mencapai matlamat menjadi negara diiktiraf sepenuhnya dan mendapat hak sebagai masyarakat antarabangsa," menurut kenyataan itu. 

Difahamkan, perubahan status tersebut dilaksanakan pada tahun ini selepas kedua-dua negara itu menyokong resolusi mengiktiraf Palestin sebagai negara pemerhati bukan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu.

Sementara itu, Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki menyambut baik keputusan tersebut.

"Kami yakin, keputusan enjin pencarian gergasi, Google menggunakan nama 'Palestin' berbanding 'Wilayah Palestin' berada di landasan betul," katanya.

Menurut petikan AFP pada Mac lalu, Parlimen Sweden turut mengundi untuk menaik taraf status misi Palestin di Stockholm.

Israel mahu cabul gencatan senjata




7 Mei 2013
Israel mahu cabul gencatan senjata
Serangan Israel telah menyebabkan kemusnahan infrastruktur di Khan Younis, selatan Genting Gaza, 19 November lalu. Foto: Reuters
TEL AVIV - Laman sesawang Walla mendedahkan tentera Israel sedang bersedia melancarkan Operasi Tunjang Pertahanan II ke atas Gaza kononnya sebagai langkah untuk menghentikan serangan roket dari Palestin.

Menurut Walla, Israel juga mahu memusnahkan infrastruktur milik pejuang Hamas yang dilihat sebagai satu tindakan untuk mencabuli perjanjian gencatan senjata bersama Palestin.

Selain itu, laman tersebut turut membongkar niat jahat rejim Zionis yang mahu menyerang Gaza sekali lagi kononnya selepas negara terbabit tetap mempertahankan pendirian anti-Israel mereka.

Tentera rejim Zionis juga dikatakan berhasrat untuk menambah lebih ramai anggota mereka pada masa hadapan bagi menangkis serangan Hamas.

November lalu, Israel bertindak kejam melancarkan Operasi Tunjang Pertahanan I yang turut mengorbankan lebih 160 penduduk termasuk kanak-kanak manakala kira-kira 1,200 cedera.

Jurucakap Hamas memberitahu, perang selama lapan hari ke atas Genting Gaza itu menyebabkan kemusnahan bernilai lebih AS$1.2 bilion (RM3.6 bilion) diperik dari laporan Press TV.