Saturday 10 January 2015

Dua Bayi Palestin Meninggal Dunia Kerana Cuaca Sejuk


Diterbitkan: Sabtu, 10 Januari 2015 6:20 PM
Pasukan pertahanan awam Palestin menaiki bot melakukan pemindahan penduduk di kawasan terjejas akibat banjir di Rafah, selatan Genting Gaza. Foto AP

GAZA CITY (Wilayah Palestin): Dua bayi warga Palestin meninggal dunia akibat cuaca sejuk di Genting Gaza yang dilanda ribut musim sejuk, kata pegawai pada Sabtu.
Seorang bayi perempuan berusia dua bulan dari bandar Khan Yunis, selatan Gaza meninggal dunia pada Jumaat kerana "halangan bekalan udara ke paru-paru yang disebabkan oleh kesejukan," kata jurucakap kementerian kesihatan, Ashraf al-Qudra.
Beliau berkata, seorang lagi merupakan bayi lelaki berusia sebulan, juga dari Khan Yunis, meninggal dunia pada Sabtu.
Pertahanan awam Gaza berkata, banyak kediaman yang telah dimusnahkan akibat peperangan bersama pihak Israel pada tahun lepas, kini dilanda pula ribut mengganas yang menyebabkan hujan beku dan angin kencang. 
Kawasan yang terjejas teruk ialah bandar Rafah di selatan Gaza, di sempadan Mesir.
"Hujan lebat menyebabkan rumah-rumah dinaiki air setinggi satu meter (dan) ada yang setengah meter," kata jurucakap itu, sambil menambah semua penghuni dipindahkan ke sekolah-sekolah.
Pihak berkuasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat mengisytiharkan darurat di seluruh wilayah Palestin selepas dilanda ribut pada Rabu lalu. - AFP