Menurut portal berita Al-Jazeera, pihak berkuasa Israel mengehadkan bekalan gas ke Genting Gaza sepanjang musim sejuk ini, menyebabkan berlaku gangguan besar kepada penduduk Palestin di wilayah ini.
Seorang anggota jawatankuasa Pembebasan Palestin di Gaza, Tholfikar Sweirjo berkata, bekalan gas yang dibekalkan ke Gaza telah berkurangan sehingga 50 peratus sejak awal Disember lalu.
“Penduduk kini berdepan kekurangan gas, terutama kebanyakan penduduk turut menggunakan gas untuk kenderaan berikutan harga petrol yang mahal,” ujar Tholfikar.
Beliau juga menuduh pihak berkuasa Israel mengurangkan bekalan gas bagi meningkatkan tekanan di Gaza terutama bagi memberi tekanan kepada pergerakan Hamas.
Kenyataan Tholfikar itu dikeluarkan seminggu selepas Pusat Media Asia Barat Antarabangsa yang memetik Mohamed al-Abdaleh, jurucakap Persatuan Bahan Api dan pemilik stesen gas di Gaza sebagai berkata, ini merupakan minggu keempat pihak berkuasa mengehadkan bekalan gas ke Gaza.
Beliau juga memaklumkan bahawa jumlah gas yang benarkan masuk ke wilayah Palestin itu hanya sebanyak 15 peratus daripada jumlah yang diperlukan.
Sementara itu, Pengarah Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Meditterranean, Ramu Abdu yang berpangkalan di Gaza berkata, lebih 20 peratus daripada penduduk di wilayah Palestin ini tidak mempunyai bekalan gas termasuk di hospital-hospital dan beberapa buah sekolah.
“Biasanya kami menunggu selama beberapa hari untuk mendapatkan catuan gas tetapi kini terpaksa menunggu lebih lama,” ujarnya, sambil menambah kata, beberapa buah restoran terpaksa ditutup berikutan tiada bekalan gas.