• Penduduk Palestin terpaksa meneruskan kehidupan walaupun tinggal di bawah runtuhan bangunan. FOto: AFPPenduduk Palestin terpaksa meneruskan kehidupan walaupun tinggal di bawah runtuhan bangunan. FOto: AFP

GAZA - PALESTIN. Ketua Anti Pengepungan Palestin, Jamal Al-Khodari menggambarkan kehidupan penduduk di Genting Gaza sebagai bencana selepas diserang Israel selama 50 hari.

Al-Khodari berkata, lebih 90 peratus penduduk hidup melarat kerana peningkatan kadar pengangguran.

"Penduduk di kem perlindungan hidup sangat teruk. Mereka hilang keperluan asas kehidupan selepas kesemua kemudahan seperti elektrik dan air musnah," katanya.

Beliau turut menyifatkan, perang terbaharu itu juga menyebabkan krisis kemanusiaan meningkat di mana pendapatan individu kini di bawah AS$2 (RM6) sehari.

"Kira-kira 95 peratus air di Gaza tidak boleh diminum dan air laut tercemar kerana 40 juta liter air kumbahan tidak dirawat mengalir di dalamnya setiap hari. Ia membinasakan kesihatan awam dan industri perikanan," katanya kepada Middle East Monitor.

Menurutnya lagi, secara umum semua aspek kehidupan terjejas termasuk sektor pertanian memandangkan tanah dicemari bahan beracun daripada roket rejim Zionis.