Thursday, 29 January 2015

Gaza tambah parah



KETIKA ribut musim sejuk terus melanda Asia Barat, ribuan penduduk Gaza yang kediaman mereka musnah atau rosak akibat keganasan Israel beberapa bulan lalu, terpaksa bergelut dengan cuaca buruk itu sejak hampir seminggu lalu.
Kelmarin, seorang bayi berusia empat bulan mati di selatan wilayah Palestin itu, akibat komplikasi berpunca daripada cuaca sejuk.
Bayi itu, Rahaf Abu Assi, anak bongsu daripada 10 beradik, yang sakit sepanjang musim sejuk, tinggal di sebuah rumah tanpa pintu, tingkap atau tandas di Al Zanna, berhampiran Khan Younis, kata bapa saudaranya.
Rumah itu hampir musnah selepas menjadi sasaran bom Israel.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Qedra berkata, Rahaf dibawa ke hospital Khamis lalu tetapi meninggal dunia hari berikutnya kerana masalah peparu berair.
"Kehidupan kami amat tragik. Tingkap hanya ditutup dengan plastik. Kadang kala kami terpaksa membakar kertas dan arang di dalam rumah yang hampir rebah untuk memanaskan badan," kata bapa saudara Rahaf, Yousri Abu Assi.
Cuaca dingin memisahkan Rahaf dengan ibunya.
Ribut itu, dengan angin kencang, hujan lebat dan salji membawa kesengsaaran di seluruh rantau berkenaan.
Seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri Jordan berkata, seorang wanita Syria dan cucunya berusia 12 tahun yang baru-baru ini meninggalkan kem pelarian Zaatari mati kelmarin selepas terhidu asap pemanas gas di apartmen mereka. Tiga lagi anggota keluarga mereka masih kritikal di hospital.
Tiga pelarian Syria, termasuk seorang kanak-kanak lapan tahun mati ketika cuba menyeberang sempadan Lubnan.
Stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan video sepasang bayi kembar mati kesejukan di Douma, kawasan yang terkepung dan dikuasai kumpulan penentang di pinggir Damsyik.
Bayi berkenaan dikebumikan dalam keranda yang dibuat daripada kadbod.
Pekerja bantuan di Lubnan dan Jordan bertungkus lumus mengagihkan ribuan selimut, pakaian, alat pemanas dan bekalan lain kepada pelarian Syria dan yang lain yang tinggal di khemah dan tempat perlindungan sementara.
Di selatan Gaza, ratusan penduduk di Rafah dan Khan Younis terpaksa berpindah apabila rumah mereka tenggelam akibat banjir. Tujuh cedera apabila bumbung rumah mereka runtuh.
Beberapa keluarga di Khuzaa, antara kampung paling teruk musnah dalam serangan Israel Julai lalu, menggunakan beg pasir untuk melindungi karavan masing-masing daripada memasuki air.
Karavan itu menjadi tempat tinggal mereka sejak beberapa bulan lalu sementara menunggu rumah mereka dibina semula.
"Kami bangun pagi dan mendapati selimut kami lenjun. Karavan ini tidak berguna," kata Abu Bassam Najjar, antara penduduk yang terjejas teruk.
Pengarah operasi pertahanan awam di Gaza Raed al-Dahshan berkata, kakitangannya bekerja sepanjang masa untuk menghulurkan bantuan tetapi berdepan dengan masalah kelengkapan.
"Terus terang saya kata kami tidak mempunyai infrastruktur. Perang musim panas lalu memusnahkan segala-galanya. Dunia bergembira apabila hujan. Tetapi di Gaza, ia membawa kesengsaraan dan mencetuskan lebih banyak krisis kemanusiaan," kata Raed.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:01 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/23166#sthash.wDF0UVML.dpuf

No comments:

Post a Comment