Remaja Palestin membaling batu ke arah anggota keselamatan Israel semasa mengadakan tunjuk perasaan membantah tindakan Israel menceroboh Masjid al-Aqsa di pusat pemeriksaan Hezma di Tebing Barat pada 30 September lalu. - AFP
BAITULMAQDIS 5 Okt. - Seorang remaja Palestin ditembak mati, manakala beratus-ratus lagi penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan Israel dan pendatang haram Yahudi di Tebing Barat, semalam.
Keganasan terbaharu itu tercetus selepas rejim Zionis menguatkuasakan larangan terhadap penduduk Palestin daripada memasuki kota lama Baitulmaqdis, tindakan yang disifatkan oleh pergerakan Hamas sebagai perkauman dan penindasan.
Menurut portal Al-Jazeera yang memetik kenyataan Persatuan Palang Merah Palestin (PRCS), tentera Israel menggunakan peluru hidup dan peluru getah yang bersalut besi untuk menyuraikan penunjuk perasaan Palestin yang berang terhadap larangan itu.
PRCS berkata, remaja Palestin berusia 18 tahun, Huthaifa Suleiman ditembak mati oleh tentera rejim Zionis di pusat pemeriksaan dekat Tulkarm.
Jelas persatuan itu, hampir 400 penduduk Palestin lagi mengalami kecederaan teruk termasuk 150 orang yang cedera akibat terkena tembakan.
“Seramai 200 orang dirawat akibat menerima kesan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan Israel.
“Perintah darurat diisytiharkan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur susulan serangan ganas tentera penjajah (rejim Zionis) dan pendatang haram Yahudi,” tambah kenyataan itu.
Selain itu, PRCS melaporkan, tentera Israel turut menyerang ambulans yang digunakan untuk membawa penduduk Palestin yang cedera dan lima anggota perubatan turut diserang ketika mereka menjalankan tugas.
“Tindakan kejam rejim Zionis itu secara jelas melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa (IHL) terutamanya melibatkan Perkara Keempat Konvensyen Geneva 1949 yang menyebut tentang perlindungan terhadap orang awam semasa perang,” jelas PRCS.
No comments:
Post a Comment