Thursday 31 October 2013

Israel bebas 26 tahanan Palestin licinkan rundingan damai


Mahmoud Abbas (dua dari kiri) menyambut sebahagian daripada 26 tahanan Palestin yang dibebaskan dari penjara-penjara Israel di bandar Ramallah, wilayah Tebing Barat, semalam. - REUTERS
BAITULMAQDIS 30 Okt. - Israel, semalam membebaskan 26 tahanan Palestin sebagai sebahagian usaha melicinkan rundingan damai antara kedua-dua pihak.
Pembebasan tahanan tersebut merupakan yang kedua dilakukan selepas empat tahanan dibebaskan, sebelum ini untuk memulakan rundingan damai antara Palestin dan Israel, yang diusahakan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.
Awal tahun ini, Kerry memujuk Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk mengenepikan isu pembinaan penempatan haram Yahudi dan sebagai tukaran, rejim Zionis Israel itu bersetuju membebaskan tahanan Palestin.
Beribu-ribu penduduk Palestin ditahan di penjara Israel sejak Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis ditawan dalam Perang Enam Hari pada 1967 dan kebanyakan mereka dipenjarakan atas kesalahan melontar batu, membunuh, mengebom, menyerang dan beberapa kesalahan lain.
Namun, proses rundingan damai itu dijangka terjejas ekoran tindakan Israel meluluskan empat lagi projek pembinaan penempatan haram Yahudi di timur wilayah ini, hari ini, beberapa jam selepas 26 tahanan Palestin terbabit dibebaskan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Lital Apter berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanhayu meluluskan projek berkenaan termasuk pembinaan 1,500 unit rumah di Ramat Shlomo, sebuah kawasan yang dituntut Palestin.
Tindakan Israel meluluskan projek berkenaan dijangka membangkitkan kemarahan Palestin, namun tidak pasti sama ada ia akan menjejaskan rundingan damai antara kedua-dua belah pihak.
Palestin sebelum ini enggan meneruskan rundingan damai dengan Israel, selagi rejim Zionis Israel tidak menghentikan pembinaan penempatan haram Yahudi di wilayah Palestin. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131031/lu_04/Israel-bebas-26-tahanan-Palestin-licinkan-rundingan-damai#ixzz2jF1qJhT1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment