Sekatan haram Israel memberi impak besar kepada kanak-kanak Palestin.
Sekatan haram Israel memberi impak besar kepada kanak-kanak Palestin.
RAMALLAH - PALESTIN. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas nekad mahu mengemukakan tuntutan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengeluarkan resolusi bagi menamatkan sekatan haram di Tebing Barat, Genting Gaza dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel sejak 1967.

"Jika tuntutan ini ditolak, kami tetap akan meneruskan usaha menghantar permohonan bagi menyertai agensi antarabangsa lain termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)," katanya lagi.

Menurut Mahmoud, jadual baharu rundingan damai Palestin-Israel juga akan dicadangkan ketika Perhimpunan Agung PBB kali ke-69 yang sedang berlangsung sehingga 1 Oktober depan.

Dalam perkembangan lain, menurutu laporan Press TV, PBB memaklumkan kira-kira 500 pemantau antarabangsa bakal dihantar ke Genting Gaza untuk memantau projek pembinaan semula wilayah itu yang musnah teruk akibat serangan rejim Zionis.

Keputusan itu dibuat selepas satu perjanjian dicapai bersama Wakil PBB di Timur Tengah, Robert Serry, Perdana Menteri Palestin, Rami Hamdallah dan Penyelaras Aktiviti Israel di wilayah Palestin, Yoav Mordechai, minggu lalu.