Wednesday 24 September 2014

Mahmoud Abbas mohon resolusi di UNGA


Sekumpulan kanak-kanak Palestin mengibarkan bendera ketika bermain berhampiran kawasan rumah mereka yang musnah akibat bedilan Israel di Gaza City, kelmarin. - REUTERS
NEW YORK 23 Sept. - Presiden Palestin, Mahmoud Abbas hari ini menyatakan, beliau akan memohon satu resolusi antarabangsa bagi menetapkan tempoh masa untuk menamatkan pendudukan Israel di wilayah Palestin apabila berucap dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada minggu ini.
Jika PBB menolak rayuannya, Abbas berkata, beliau akan memohon menyertai agensi dan institusi antarabangsa termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Penyertaan ke dalam mahkamah itu akan membuka peluang untuk mendakwa Israel dengan jenayah perang membabitkan dua tindakan rejim tersebut di Gaza dan pembinaan penempatan Yahudi yang berterusan di tanah Palestin.
Pemimpin Palestin itu dijangka berucap di UNGA pada Jumaat ini dan bertemu dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry hari ini.
Sementara itu, pasukan tentera Israel hari ini menembak mati dua penduduk Palestin yang disyaki membunuh tiga remaja Israel di wilayah yang diduduki rejim Zionis di Tebing Barat pada Jun lalu.
Israel telah memburu dua suspek itu, Marwan Kawasme dan Amar Abu Aysha sejak berbulan-bulan lalu.
Mereka didakwa merupakan individu yang terlibat menangkap dan menembak tiga remaja Israel tersebut berdekatan satu penempatan Yahudi pada 12 Jun lalu.
Penduduk Hebron berkata, pasukan keselamatan mengepung sebuah rumah di bandar itu pada waktu senja sebelum bunyi tembakan kedengaran. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140924/lu_04/Mahmoud-Abbas-mohon-resolusi-di-UNGA#ixzz3EDkQsJeI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment