Thursday 30 October 2014

24,000 penjawat awam di Gaza terima gaji

Sebahagian daripada ratusan penjawat awam yang menyerbu
sebuah pejabat pos di Gaza untuk menerima gaji mereka semalam.
GAZA – Seramai 24,000 penjawat awam yang bekerja di bawah pentadbiran pergerakan Hamas mula menerima gaji mereka semalam selepas hampir setahun tidak mendapat gaji penuh.
Gaji itu dibayar oleh kerajaan perpaduan baharu Palestin yang beribu pejabat di Tebing Barat selepas menerima dana daripada kerajaan Qatar yang merupakan sekutu Hamas.
Dana yang diberi secara tunai kepada kerajaan Palestin tersebut diharap dapat merapatkan hubungan antara pergerakan Hamas yang menguasai Genting Gaza dan kumpulan Fatah yang memerintah Tebing Barat.
Kedua-dua kumpulan yang sering bertelagah tersebut menandatangani satu perjanjian untuk membentuk kerajaan perpaduan pada Jun lalu selepas melalui rundingan penyatuan yang membabitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Terdahulu, beberapa buah kenderaan yang membawa wang tunai berkenaan bergerak dari Tebing Barat dan melalui Israel sebelum masuk ke Genting Gaza.
Beribu-ribu penjawat awam beratur di beberapa buah pejabat pos di Gaza sejak awal pagi lagi untuk mengambil gaji mereka yang berjumlah kira-kira AS$1,200 (RM3,925).
“Saya akan menggunakan wang ini untuk membayar hutang. Saya perlu membayar sewa rumah, bil elektrik dan air yang tertangguh termasuk membeli makanan,” kata seorang pekerja kesihatan, Mahmoud Al-Serhy. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1030&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3HZfhs0He 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment