Wednesday 29 October 2014

Mesyuarat tergempar UNSC bincang pendudukan Israel

Pekerja kontrak menjalankan kerja binaan sebuah bangunan apartmen di kawasan pendudukan Yahudi di Har Homa di Tebing Barat. - Foto REUTERS
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini bagi membincang perancangan Israel untuk membina lebih banyak rumah di timur Baitulmaqdis, kata diplomat.
Perbincangan segera itu diminta Jordan berikutan penghantaran surat oleh seorang wakil Palestin, Riyad Mansour, yang menggesa majlis dengan 15 anggota itu supaya menangani krisis di timur Baitulmaqdis yang diceroboh itu.
Isnin lalu, Israel mengumumkan akan membina lebih 1,000 rumah baharu di timur Baitulmaqdis, membangkitkan kemarahan rakyat Palestin yang memberi amaran ia boleh mencetuskan keganasan.
Dalam suratnya, wakil Palestin itu berkata majlis berkenaan patut mendesak Israel supaya membatalkan perancangannya dengan serta-merta dan memberi komitmen kepada perdamaian yang kini jelas diketepikan.
Mesyuarat yang akan diadakan pada jam 7 malam itu dijangka tidak akan mengeluarkan resolusi dan tidak diketahui sama ada majlis berkenaan akan mengeluarkan kenyataan selepas mesyuarat berkenaan.
Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Jen Psaki enggan menyatakan sama ada Washington akan menentang sebarang tindakan Majlis Keselamatan yang kritikal terhadap Israel.
Rakyat Palestin mendesak agar PBB mengeluarkan resolusi yang menetapkan 2016 sebagai tarikh berakhirnya pendudukan Israel di bumi mereka.
Ketegangan di antara Israel dan Palestin juga timbul berikutan lawatan Datuk Bandar Israel ke Masjid Al-Aqsa semalam. - AFP

No comments:

Post a Comment