Monday 15 September 2014

Kembali bersekolah


Gaza: Kira-kira setengah juta kanak-kanak Gaza yang menunda penggal baru persekolahan mereka berikutan keganasan Israel sepanjang 50 hari pada Julai dan Ogos lalu, semalam mula kembali bersekolah.

Pegawai Kementerian Pelajaran Gaza, Ziad Thabet berkata, ia membabitkan 230,000 pelajar sekolah kerajaan, 200,000 pelajar sekolah yang ditadbir Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan puluhan ribu lagi yang belajar di institusi swasta.

Pembukaan penggal baru itu ditunda selama dua minggu kerana kerosakan pada bangunan sekolah serta penggunaan bangunan sekolah PBB untuk menempatkan ribuan penduduk yang hilang tempat kediaman.

Israel membunuh lebih 2,100 penduduk Gaza dan merosakkan ratusan sekolah sepanjang melancarkan keganasan itu.

Ziad berkata, sekolah kerajaan diarah memberi kaunseling psikologi dan mengadakan aktiviti rekreasi sepanjang minggu pertama ini bagi membantu mengembalikan keyakinan kanak-kanak yang terjejas akibat keganasan Israel itu.

“Kami memberi latihan khas kepada lebih 11,000 guru, pengetua dan pentadbir mengenai cara menangani pelajar selepas perang,” katanya.

Menurutnya, 26 sekolah musnah sama sekali sementara 232 mengalami kerosakan teruk akibat serangan Israel.

Pembiayaan kerajaan untuk pelajaran masih lembap dengan ketiadaan peruntukan untuk perbelanjaan operasi sejak pembentukan kerajaan perpaduan antara Hamas, kumpulan yang mentadbir wilayah itu dengan Pihak Berkuasa Palestin yang berpusat di Tebing Barat, awal tahun ini.

Agensi bantuan Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyumbang 130,000 beg sekolah dan peralatan mengajar untuk sekolah kerajaan.

Lebih 2,100 penduduk Palestin terbunuh, kebanyakannya orang awam, termasuk ratusan kanak-kanak dalam keganasan terbaru Israel itu, yang ketiga dalam tempoh lima tahun.



Foto
KANAK-KANAK Palestin melintasi rumah yang runtuh akibat serangan Israel ketika mereka dalam perjalanan ke sekolah, hari pertama penggal persekolahan baru, di Gaza, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/15

No comments:

Post a Comment