Baitulmaqdis: Israel dengan bongkak menolak gesaan lima anggota terbesar Kesatuan Eropah untuk tidak merobohkan kediaman warga Palestin yang melakukan serangan di sini, dengan mendakwa kononnya tindakan itu diambil bagi mengelak keganasan berterusan.
Dalam pertemuan mereka dengan pegawai kementerian luar rejim Zionis itu, Duta Jerman, Perancis, Britain, Itali dan Sepanyol berkata, tindakan Israel merobohkan sebuah rumah di Baitulmaqdis Timur baru-baru ini dan rancangan untuk merobohkan empat lagi hanya akan meningkatkan ketegangan dan tidak akan mendatangkan hasil.
Jurucakap Kementerian Luar Israel Emmanuel Nahshon yang mengesahkan pertemuan itu berkata, pihaknya memaklumkan kepada mereka, pendekatan itu selari dengan undang-undang Israel dan ia akan diteruskan.
“Ini bukan menghukum tetapi untuk menjadi pengajaran kepada yang lain supaya tidak melakukan serangan,” kata Nahshon.
Kekacauan di Baitulmaqdis berpunca daripada kebuntuan rundingan mengenai negara Palestin, perang Gaza dan gesaan beberapa tokoh Israel supaya penganut Yahudi dibenarkan melakukan ibadah mereka di perkarangan Masjid al-Aqsa, masjid ketiga paling suci umat Islam.
Keganasan semakin meningkat baru-baru ini apabila tiga warga Palestin merempuh kenderaan mereka dengan menyasarkan rakyat Israel dan dua lagi melancarkan serangan di sebuah kuil.
Semua penyerang yang berasal dari Baitulmaqdis yang dijajah Israel sejak Perang 1967 ditembak mati oleh polis rejim itu.
Sembilan penduduk Israel dan seorang wanita asing tertunuh dalam serangan berkenaan.
Israel menganggap seluruh Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya walaupun ia tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.
Rejim itu pernah menggunakan taktik memusnahkan kediaman Palestin ketika intifadah antara 2000 dan 2005 tetapi menghentikannya kerana ia hanya meningkatkan keganasan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:16 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10895#sthash.lNEzg4iY.dpuf
No comments:
Post a Comment