GAZA CITY 20 Ogos - Israel kembali melancarkan serangan udara ke atas Gaza, dan Hamas membalas dengan melancarkan roket ke wilayah Israel, beberapa jam sebelum tempoh gencatan senjata terbaharu selama 24 jam tamat, semalam mengakibatkan rundingan damai tajaan Mesir di Kaherah terhenti dan Israel memanggil pulang wakil mereka di situ.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Gaza, Ashraf al-Kidra berkata, sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin terbunuh termasuk isteri dan anak kepada ketua komander Briged al-Qassam, Mohammed Deif, manakala 68 orang lagi cedera.
Tentera Israel berkata, mereka melancarkan sebanyak 30 serangan udara ke atas beberapa sasaran di Gaza dengan Hamas pula melancarkan sekurang-kurangnya 70 serangan roket ke wilayah Israel selepas gencatan senjata sementara sebelum ini menemui kegagalan.
Israel turut mengerahkan semula kira-kira 2,000 askar simpanan mereka yang sebelum ini dihantar pulang dua minggu lalu, untuk kembali bertugas, hari ini.
Kegagalan rundingan dan meletusnya semula perang itu merupakan tamparan pahit kepada usaha diplomasi selama hampir seminggu anjuran Mesir dalam usaha menghentikan konflik terburuk antara Israel dan Hamas sejak pergerakan itu mula menguasai Gaza pada 2007.
Sementara itu, Ashraf berkata, serangan ke atas kediaman Mohammed Deif di Gaza City membunuh tiga orang iaitu dua wanita termasuk isteri pemimpin Hamas itu dan seorang anaknya berusia dua tahun.
Media tempatan melaporkan serangan tersebut disasarkan ke atas komander berkenaan.
Di Israel, siren amaran serangan roket Hamas kedengaran di bandar-bandar di selatan Israel pagi ini, namun tiada laporan kecederaan meskipun terdapat serpihan roket yang dipintas jatuh berhampiran jalan raya yang sibuk di Tel Aviv, malam tadi.
Dalam perkembangan berasingan, pegawai keselamatan Mesir mendesak kedua-dua pihak menyambung semula rundingan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_01/Perang-meletus-kembali-di-Gaza#ixzz3AyW4yTcw
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment