Agensi berita Xinhua melaporkan pertubuhan itu yang merupakan agensi di bawah Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dalam satu kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada media berkata, semua tahanan itu melancarkan mogok lapar sebagai bantahan terhadap layanan buruk yang diterima.
“Tahanan meminta Israel menghentikan tindakan kejam seperti memecah masuk ke bilik tahanan mereka dan menjalankan pemeriksaan mengejut,” jelas kenyataan itu.
Tahanan juga meminta pihak penjara Israel menghentikan tindakan memindahkan mereka dari satu penjara ke penjara yang lain, selain memukul tahanan ketika membawa mereka keluar dari sel.
Sementara itu, Pengerusi pertubuhan itu, Eassa Qaraqe’e memberitahu Xinhua bahawa pihak penjara Israel, baru-baru ini bertindak memukul berpuluh-puluh tahanan Palestin di beberapa buah penjara, lokap dan kem tahanan.
“Tahanan memulakan mogok lapar hari ini berikutan keadaan di penjara yang semakin tegang apabila Israel mengetatkan langkah-langkah keselamatan yang menghalang keluarga melawat mereka setiap minggu,’’ ujarnya.
Berpuluh-puluh ahli keluarga tahanan dan wakil pelbagai organisasi, mengadakan demonstrasi di Gaza hari ini sehingga mendorong Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa Israel menghentikan tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu.
Jurucakap pergerakan Hamas di Gaza, Mo’een Shadid berkata, tahanan Palestin kini berdepan ‘layanan buruk’ di penjara-penjara Israel.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 7,000 banduan Palestin di beberapa penjara Israel dengan berpuluh-puluh daripada mereka telah ditahan lebih 20 tahun.
– BERNAMA