• Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Mejar Jeneral Hazim Attallah ketika menerima kunjungan Ketua Polis Palestin itu di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini. Turut sama ialah Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha (kiri). - Foto BernamaMenteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima cenderahati daripada Mejar Jeneral Hazim Attallah ketika menerima kunjungan Ketua Polis Palestin itu di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini. Turut sama ialah Duta Palestin ke Malaysia, Dr Anwar Al-Agha (kiri). - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia bersedia memberikan latihan kepolisan meliputi aspek pencegahan jenayah, pengurusan dan logistik kepada pegawai dan anggota polis Palestin dalam usaha meningkatkan kerjasama kedua-dua negara. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerjasama itu bagaimanapun tidak membabitkan persenjataan, sebaliknya hanya memberi fokus
kepada latihan kepolisan.

“Ini merupakan jalinan yang dirintis semasa era pentadbiran (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Palestin Yasser Arafat...ia
disambung kini antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib tun Razak dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas.

“Kita tidak pernah campur tangan dalam soal politik dalaman Palestin tetapi PDRM (Polis DiRaja Malaysia) sedia memberikan latihan di pusat-pusat latihan
polis kepada pegawai dan anggota polis Palestin. Kita tidak akan bagi bantuan persenjataan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid menerima kunjungan hormat Ketua Polis Palestin Mejar Jen Hazim Atallah dan delegasnya di pejabatnya di sini, hari ini.

Turut hadir Duta Palestin ke Malaysia Dr Anwar Hamdto Qasem Al-Agha. 

Ahmad Zahid berkata latihan yang akan diberikan merangkumi pembanterasan dan pencegahan jenayah, narkotik, komersil, pengurusan, trafik dan ketenteraman dalam negeri. 

“Tempoh latihan bergantung kepada model yang kita ada, jika di Pusat Latihan Pulapol (Pulapol) Jalan Semarak, tempohnya sembilan bulan dan di Pulapol Kuala Kubu Bharu, tempohnya setahun,” katanya. 

Beliau berkata tawaran latihan itu menunjukkan keprihatinan Malaysia dalam mengekalkan keselamatan rakyat Palestin di Ramallah, Gaza dan Tebing Barat.
  
Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berkata polis Malaysia turut bekerjasama dengan polis antarabangsa (Interpol) dan Badan Perisikan Antarabangsa bagi menyiasat dakwaan kononnya wujud pembiayaan keganasan melibatkan rakyat Malaysia.

“Kita sedang siasat perkara ini. Malah, sebelum ia dikeluarkan di akhbar Australia, siasatan telah pun dimulakan selepas kita mendapat maklumat daripada
polis Australia," katanya. 

Beliau mengulas laporan media Australia yang  melaporkan bahawa polis sedang menjalankan siasatan terhadap syarikat kiriman wang di negara itu selepas didapati menyalurkan sekurang-kurangnya RM100,000 kepada individu yang tidak dinamakan di Malaysia.

Ahmad Zahid memberi jaminan kepada Australia bahawa melalui Akta AntiPengubahan Wang Haram dan AntiPembiayaan Keganasan (AMLA-ATFA) 2001,  Kementerian Dalam Negeri tidak berkompromi dalam mengizinkan sebarang saluran wang haram diberikan kepada individu atau pertubuhan keganasan tempatan atau asing. - Bernama