Wednesday, 29 July 2015

Peneroka Yahudi halang roboh rumah



REUTERS - SEORANG peneroka muda dilihat bercakap dengan seorang anggota polis Yahudi berhampiran sebuah bangunan yang bakal dirobohkan atas arahan Mahkamah Tinggi Israel di penempatan haram Beit El semalam.


BAITULMUQADDIS – Peneroka haram Yahudi bertempur dengan polis Israel semalam ketika pihak berkuasa merampas beberapa kediaman yang sedang dibina di kawasan Tebing Barat yang diduduki, selepas sebuah mahkamah memutuskan bangunan-bangunan haram itu perlu dirobohkan.
Mahkamah Tinggi Israel bulan lalu mengarahkan dua bangunan di penempatan haram Beit El di utara Ramallah dirobohkan sebelum 30 Julai ini.
Sekitar 50 peneroka haram muda bertahan di dalam bangunan tersebut bagi membantah tindakan meroboh itu dan mereka terpaksa dialihkan anggota polis sebelum subuh semalam.
Rakaman video yang dipaparkan media tempatan menunjukkan anggota polis bergelut dengan penunjuk perasaan di tapak bangunan haram dikenali sebagai Dreinoff itu yang dibina atas tanah persendirian milik orang Palestin tetapi telah dirampas tentera Israel pada 1970-an.
“Satu unit polis sempadan mengambil alih bangunan Dreinoff semalam bagi mengelakkan berlakunya keganasan sebelum struktur itu dirobohkan seperti yang diarahkan Mahkamah Tinggi sebelum ini,” jelas tentera Israel melalui satu kenyataan.
Namun, masih ada usaha perundangan bagi menghalang tindakan meroboh struktur tersebut dan tidak dapat dipastikan sama ada arahan mahkamah itu akan dilaksanakan.
Kawasan perumahan Israel di kawasan Tebing Barat yang diduduki dianggap sebagai penempatan haram mengikut undang-undang antarabangsa tetapi tidak bagi kerajaan Israel.
Penempatan haram itu dilihat menyukarkan lagi usaha rundingan damai ke arah sebuah negara Palestin berdaulat yang telah tergantung sejak tahun lalu. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0729&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3hE7mRGzI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment