TEMBOK pemisah yang dibina oleh Israel atas alasan menjaga keselamatan penduduknya hanyalah tindakan untuk merampas kawasan tanah milik Palestin. REUTERS
BAITULMAQDIS 8 April - Israel dilihat terus cuba merampas tanah milik Palestin apabila memulakan proses pembinaan tembok pemisah baharu di kawasan jajahan dekat Tebing Barat, semalam walaupun tindakan itu mencetuskan kontroversi dan tentangan daripada penduduk Palestin.
Beberapa buah kren dilihat mengangkat blok batu setinggi lapan meter bagi melengkapkan pembinaan tembok berdekatan kawasan Beit Jala yang terletak di selatan Baitulmaqdis dan Baitulaham.
Pembinaan tembok itu juga bakal menghalang penduduk Palestin daripada memasuki ladang minyak zaitun.
Datuk Bandar Beit Jala, Nicola Khamis dalam pada itu mengecam pembinaan tembok tersebut yang dilihat sebagai cubaan merampas tanah penduduk Palestin.
Nicola berharap kerajaan Palestin dapat menghalang aktiviti itu diteruskan walaupun beliau mengakui rejim Zionis tidak melayan sebarang bantahan berhubung pembinaan tembok tersebut.
“Tanah ini merupakan milik kami dan anak-anak kami,” katanya ketika dihubungi oleh wartawan AFP.
Bagaimanapun Kementerian Pertahanan Israel tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung pembinaan tembok itu.
Penduduk Beit Jala menyuarakan kebimbangan tembok pemisah itu akan meluaskan lagi kawasan penempatan haram Yahudi di Gilo dan Har Gilo.
Israel mula membina tembok pemisah di Tebing Barat sejak 2002 ketika intifada kedua dilancarkan oleh rakyat Palestin bagi menentang kekejaman rejim Zionis.
Tembok itu digelar sebagai “tembok aparteid” yang bertujuan merampas tanah penduduk Palestin, sekali gus menjejaskan kedaulatan wilayah tersebut.
Jurucakap Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Xavier Abu Eid berkata, tembok itu bakal memusnahkan potensi Baitulaham untuk menjadi sebuah bandar yang maju.
“Rejim Israel terus mengamalkan dasar aparteid di Tebing Barat dengan membina tembok pemisah secara berterusan,” katanya. – AFP
No comments:
Post a Comment