Seorang wanita Palestin mengumpulkan barangan miliknya selepas banyak kediaman dirobohkan tentera Israel di kawasan perkampungan Khirbet Tana berdekatan bandar Nablus, Tebing Barat baru-baru ini. REUTERS
TEBING BARAT 9 April - Seramai 124 rakyat Palestin termasuk 60 orang kanak-kanak hilang tempat tinggal di sini dalam masa sehari selepas kediaman mereka dirobohkan tentera Israel.
Menurut kenyataan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), 54 kediaman termasuk 18 dibiayai beberapa penderma, dibakar di sembilan buah perkampungan berbeza.
OCHA berkata, tindakan Israel itu melibatkan seramai 293 penduduk termasuk 98 kanak-kanak di kawasan terbabit.
Sebanyak 34 kediaman dirobohkan di perkampungan Khirbet Tana berdekatan bandar Nablus, Tebing Barat yang menyebabkan 69 rakyat Palestin termasuk 29 kanak-kanak hilang tempat tinggal.
“Kebanyakan kediaman yang dirobohkan di Khirbet Tana itu merupakan sumbangan daripada beberapa penderma selepas Israel merobohkan struktur berkenaan sebelum ini,” kata kenyataan itu.
Data terbaharu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) me-nunjukkan tentera Israel meningkatkan pemusnahan struktur milik Palestin sebanyak tiga kali ganda sejak tiga bulan lalu.
PBB berkata, purata rumah dimusnahkan sejak Januari lalu me-ningkat kepada 165.
Dalam pada itu, AFP melaporkan, pihak berkuasa Palestin sedang membincangkan draf resolusi baharu PBB bersama negara-negara Arab bagi membantah tindakan Israel meluaskan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
Palestin gagal dalam mengambil tindakan sama di Majlis Keselamatan PBB pada 2011 selepas Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto membatalkan resolusi terbabit.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, resolusi itu akan menjelaskan peranan yang dimainkan oleh badan keselamatan dunia tersebut dalam isu terbabit.
Duta-duta ke Majlis Keselamatan PBB mengutuk penempatan haram Yahudi khususnya di Tebing Barat sebagai tindakan melanggar undang-undang dan halangan ke arah keamanan tetapi badan dunia itu tidak pernah menyatakan kedudukan berhubung isu itu. – AGENSI/AFP
No comments:
Post a Comment