Friday, 20 June 2014

Bertempur di Jenin


Baitulmaqdis: Tentera Israel bertempur dengan penduduk Palestin awal semalam ketika askar Zionis itu melancarkan serbuan dalam operasi menjejaki tiga remaja Yahudi yang dipercayai diculik di Tebing Barat.

Ia keganasan terburuk sejak usaha mencari remaja itu dilancarkan seminggu lalu.

Israel yang mendakwa kumpulan Hamas terbabit dalam penculikan itu walaupun tidak mempunyai bukti bertindak menangkap sejumlah besar anggota pergerakan berkenaan sambil melancarkan operasi mencari itu.

Hamas walaupun memuji penculikan remaja berkenaan, tidak mengaku bertanggungjawab.

Ketiga-tiga mereka - Eyal Yifrah, 19, Gilad Shaar, 16, dan Naftali Fraenkel, 16, yang juga mempunyai kerakyatan Amerika - hilang Khamis lalu ketika dalam perjalanan pulang dari kuil Yahudi di Tebing Barat.

Tentera Israel berkata, dalam kejadian semalam, kira-kira 300 penduduk Palestin berhimpun di jalan raya apabila mereka memasuki Jenin kira-kira jam 2 pagi.

Ada yang melepaskan tembakan sementara yang lain melontar batu dan bahan letupan.



Askar Zionis itu bertindak balas dengan melepaskan tembakan.

Seramai 30 penduduk ditahan selepas kejadian itu.

Pengarah hospital di Jenin, Nadir Irshaid berkata, tujuh orang dirawat kerana cedera ringan akibat tembakan dan dipukul.

Sejak operasi mengesan tiga remaja itu bermula, kira-kira 280 rakyat Palestin ditahan, termasuk 200 anggota Hamas.

Pihak berkuasa Israel berkata, mereka sudah mencari di hampir 100 kawasan dan menyerbu institusi yang didakwa digunakan Hamas.

Jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata Hamas perlu ‘membayar harga yang mahal’ kerana kehilangan ketiga-tiga remaja itu.

Sehingga ini, tidak ada tanda menunjukkan mangsa masih hidup.

Tuntutan wang tebusan atau tuntutan lain daripada penculik juga tidak diterima.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/06/20

No comments:

Post a Comment