RAMALLAH 5 Jan. – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merancang untuk mengemukakan semula resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menubuhkan negara Palestin yang berdaulat selepas usul berkenaan gagal mendapat sokongan daripada jawatankuasa pertubuhan dunia itu.
Berdasarkan laporan rangkaian berita Al-Jazeera, kerajaan Palestin berharap PBB akan lebih bersimpati dengan resolusi tersebut yang turut menuntut pengunduran Israel dari wilayah yang dijajah sejak 1967 selain mencapai kemerdekaan menjelang 2017.
Menurut Mahmoud, usaha Palestin sebenarnya tidak gagal, tetapi Majlis Keselamatan PBB yang menggagalkan langkah tersebut apabila sekutu kuat rejim Zionis, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto untuk menentang resolusi berkenaan pada 30 Disember lalu.
“Kita akan mengemukakan semula resolusi itu kepada Majlis Keselamatan PBB sekurang-kurangnya selepas seminggu.
“Kami juga akan menilai semula perkara ini dan berbincang dengan semua sekutu Palestin terutamanya Jordan bagi meneruskan perancangan tidak kira berapa kali kami perlu mengemukakan resolusi itu,” katanya.
Ketika undian resolusi Majlis Keselamatan PBB pada hujung bulan lalu, Palestin meraih lapan sokongan termasuk Perancis, Rusia dan China manakala dua negara barat, AS dan Australia memilih untuk menentang usul berkenaan.
Palestin kemudian menandatangani 20 perjanjian konvensyen antarabangsa termasuk Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mendatangkan kemarahan di pihak Israel apabila rejim Zionis membekukan dana cukai sebanyak AS$127 juta (RM446.6 juta) yang merupakan milik kerajaan Mahmoud.
No comments:
Post a Comment