MOSCOW - Satu siasatan Rusia berhubung kematian Yasser Arafat gagal menemui racun radioaktif yang didakwa membunuh pemimpin Palestin tersebut, kata ketua sebuah agensi kerajaan yang melakukan kajian itu semalam.
Ketua Agensi Perubatan dan Biologi Persekutuan, Vladimir Uiba berkata, pihaknya tiada perancangan untuk melakukan ujian lebih lanjut.
"Kematian Arafat adalah secara semula jadi, tiada kesan radiasi yang ditemui," kata Uiba menurut beberapa agensi berita Rusia.
Beberapa pasukan saintis dari Perancis, Switzerland dan Rusia diminta mengenal pasti sama ada racun polonium menjadi punca kematian Arafat di sebuah hospital tentera di Perancis pada tahun 2004.
Penduduk Palestin sudah lama mengesyaki Arafat diracun oleh Israel tetapi dinafikan oleh rejim Zionis.
Dalam pada itu, Rusia mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa Palestin sejak era negara Kesatuan Soviet apabila Moscow menyokong perjuangan mereka.
Selepas satu laporan pada 2012 bahawa terdapat kesan bahan radioaktif polonium ditemui pada pakaian Arafat, balunya Suha Arafat mengemukakan aduan rasmi di Perancis supaya satu siasatan dilakukan untuk menentukan sama ada Arafat dibunuh.
Sementara itu, pasukan saintis Switzerland menyatakan, mereka menemui kesan polonium dan plumbun manakala keadaan kesihatan Arafat dan kematiannya selaras dengan kesan keracunan akibat meminum polonium.
Mengulas keputusan pasukan pakar Rusia itu, Duta Palestin ke Moscow, Fayed Mustafa dipetik sebagai berkata oleh agensi berita RIA Novosti bahawa Pihak Berkuasa Palestin menghormati keputusan mereka.
Namun, pihaknya beranggapan adalah perlu supaya kajian berhubung kematian Arafat diteruskan. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz2ocPsGW9x
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment