27 Disember 2008 merupakan detik mula mata masyarakat dunia terbuka seluas-luasnya apabila menyaksikan rejim Zionis Israel meratah nyawa rakyat Palestin tanpa mengira had umur. Serangan yang berpanjangan selama 22 hari itu disifatkan antara serangan paling kejam dan ganas ke atas Jalur Gaza.
Dalam serangan yang digelar sebagai Operation Cast Lead oleh regim Zionis Israel atau Marakat Furqan oleh mujahidin di Gaza, lebih 1,400 orang awam Palestin terkorban termasuk lebih 300 kanak-kanak dan remaja berumur bawah 18 tahun. Lebih 5,000 rakyat Palestin cedera, 3,540 rumah runtuh dan sekitar 2,870 lagi rumah rosak teruk.
Serangan juga telah memusnahkan banyak infrastruktur awam Gaza yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dibina dek sekatan ekonomi yang dikenakan ke atas Gaza sejak HAMAS memenangi pilihanraya umum pada 2006. Lebih 18 sekolah, 268 pusat perniagaan, 324 kilang dan bengkel musnah yang mengakibatkan kerugian puluhan juta US dollar.
Serangan ini tercetus di celah-celah perjanjian gencatan senjata yang baru sahaja ditandatangani antara HAMAS dan rejim Israel pada bulan Jun 2008. Gencatan senjata ini dicemari pada bulan November 2008 bilamana tentera Israel menyerang Gaza dan membunuh 6 anggota HAMAS. Serangan ini diikuti dengan siri-siri serangan yang akhirnya menjadi operasi besar-besaran, Operation Cast Lead.
Hakikatnya, rejim Zionis Israel sebenarnya sudah lama merancang operasi ini. Menurut Barak Ravid, wartawan Haaretz (sebuah akhbar utama Israel), Menteri Pertahanan rejim Israel ketika itu, Ehud Barak telah mengarahkan persiapan untuk Operation Cast Lead sejak lebih 6 bulan sebelum itu ie. sewaktu rundingan gencatan senjata antara Israel dan HAMAS sedang berlangsung!
Ur Shlonsky, seorang professor linguistik di Universiti Geneva, Switzerland menyebutkan bahawa objektif Israel adalah untuk "menyerang masyarakat awam dan memastikan kemusnahan maksima ke atas infrastruktur awam. Kehidupan seharian rakyat Palestin mesti ditekan sehingga mereka tidak lagi mampu bertahan; mereka dikurung, dihalang dari melaksanakan aktiviti harian, bekerja, bersekolah dan mendapatkan bantuan kesihatan dari hospital. Ini akan menggalakkan perpindahan keluar dari Palestin dan melemahkan semangat mereka untuk menentang serangan-serangan Israel yang akan datang."
Pada September 2009, setelah didesak masyarakat sivil antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membentangkan 'Laporan Goldstone' yang memperincikan sekurang-kurangnya 36 jenayah perang yang dilakukan oleh Israel dalam Operation Cast Lead, termasuk pembedilan rumah-rumah masyarakat awam seperti keluarga Samouni dan Al-Daya dan penggunaan fosforus, senjata kimia yang haram digunakan semasa perang di kawasan penempatan. Namun, laporan itu tidak sedikit pun mengubah pendirian kuasa-kuasa besar dunia yang terus menyokong rejim Zionis Israel. Israel tidak dijatuhkan hukuman sedikit pun atas jenayah-jenayah perang yang telah mereka lakukan dalam operasi ini.
Maka, benarlah pendirian HAMAS selama ini. Rundingan tidak akan membawa perjuangan pembebasan Palestin ke mana-mana. Zionis Israel tidak pernah ingin menghormati persetujuan dalam rundingan yang dibuat. Apabila mereka berjanji, mereka akan mengkhianati. Justeru, hanya jalan jihad dan penentangan akan mampu menundukkan rejim Israel.
“From the river to the sea, Palestine will be free!”
#pace
[KJ]
No comments:
Post a Comment