Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Peter Lerner berkata, tentera udara Israel melancarkan serangan ke atas empat kanak-kanak lelaki tersebut selepas gagal mengenal pasti mereka sebagai kanak-kanak dan mempercayai mereka merupakan kumpulan lelaki bersenjata.
“Selepas menilai hasil siasatan, Pejabat Penasihat Perundangan Tentera (Israel) mendapati proses serangan dibuat berdasarkan undang-undang domestik Israel dan undang-undang antarabangsa,’’ katanya dalam akaun Facebooknya.
Beliau menyifatkan pembunuhan itu sebagai satu kejadian tragik.
Saksi berkata, keempat-empat kanak-kanak tersebut sedang bermain bola sepak ketika serangan itu dilancarkan.
Israel melancarkan serangan ketenteraan ke atas Gaza selepas pe­ningkatan serangan roket oleh pergerakan Hamas dan kumpulan pemisah Palestin lain ketika itu.
Serangan Israel ke atas Gaza selama dua bulan itu menyaksikan lebih 2,100 penduduk Palestin terkorban, kebanyakannya orang awam, dan hanya 67 askar Israel dan enam orang awam Israel maut.
Israel berkata, pihaknya cuba mengelak membunuh orang awam dan menuduh Hamas menjadi punca operasi ketenteraan dilancarkan di kawasan penduduk.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel berkata, pihaknya juga menutup kes serangan ke atas kawasan kediaman pada 21 Julai dan 29 Julai yang menyaksikan 22 penduduk Pa­lestin terbunuh. – Reuters