Gambar bertarikh 5 September 2014 merakamkan kerja-kerja pembinaan penempatan haram Yahudi berhampiran kawasan perindustrian milik Israel di Barkan, wilayah dijajah rejim Zionis. - AFP
GENEVA 25 Mac – Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) meluluskan resolusi menggesa pewujudan satu pangkalan data perniagaan melibatkan aktiviti di penempatan haram Yahudi di kawasan jajahan Palestin, tindakan yang menimbulkan kemarahan Tel Aviv dan sekutunya, Washington.
Portal Press TV melaporkan, resolusi yang dicadangkan oleh Pakistan itu menerima 32 undi sokongan, tiada undi menentang dan 15 yang kebanyakkannya negara-negara Eropah, berkecuali.
Pakistan menyatakan, penempatan haram Yahudi di Tebing Barat, Baitulmaqdis, dan Bukit Golan melanggar undang-undang antarabangsa.
UNHCR menggesa senarai perniagaan itu dikemaskini setiap tahun selain perlu dinilai di bawah ‘pelanggaran undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia melibatkan penghasilan produk penempatan haram tersebut’.
Duta Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon berkata, pangkalan data itu merupakan satu ‘senarai hitam’ dan menuduh badan dunia itu ‘berat sebelah’ terhadap Tel Aviv.
Pendekatan tersebut merupakan antara 40 resolusi yang diluluskan oleh badan dunia itu selepas bersidang selama empat minggu.
UNHCR menamakan Stanley Michael Lynk sebagai penyiasat baharu berhubung situasi hak asasi manusia di kawasan jajahan Palestin.
Lynk menggantikan Makarim Wibisono yang meletakkan jawatan pada Januari lalu ekoran kegagalan Israel bekerjasama sama dengannya.
Hampir separuh juta penduduk Yahudi tinggal di 230 penempatan haram sejak penjajahan Israel di kawasan milik Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis.
No comments:
Post a Comment