Tuesday 29 October 2013

Genting Gaza rugi AS$230j


GAZA CITY 28 Okt. - Pergerakan Hamas berkata, tindakan Mesir menutup terowong penyeludupan ke Gaza menyebabkan wilayah Palestin itu mengalami kerugian ekonomi berjumlah AS$230 juta (RM721 juta).
Timbalan Menteri Ekonomi Hamas, Hatem Oweida berkata, penutupan terowong tersebut menyebabkan sektor industri, perdagangan, pengangkutan dan pembinaan di wilayah Palestin yang ditadbir pergerakan itu mengalami kerugian kira-kira AS$230 juta (RKM721 juta) sebulan.
Bahan-bahan keperluan asas sejak bertahun-tahun lalu diseludup dari Mesir ke Gaza melalui terowong berkenaan, bagi memintas sekatan Israel.
Bagaimanapun, tentera Mesir, baru-baru ini mula memusnahkan banyak terowong tersebut selepas Presiden, Mohammed Mursi daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin yang merupakan sekutu Hamas digulingkan.
Hatem berkata, Palestin bergantung kepada terowong berkenaan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya 40 peratus keperluan bahan binaan dan bahan mentah.
''Kadar pengangguran di Gaza akan meningkat kepada 43 peratus jika pintu masuk utama di sempadan masih ditutup dan terowong terus dimusnahkan,'' katanya.
Beliau berkata, perolehan awam menyaksikan penurunan selepas penutupan terowong dan sekatan diketatkan pada separuh kedua tahun ini, keadaan yang akan memberi kesan kepada program pekerjaan dan pekerjaaan sementara.
Israel mengenakan sekatan di darat, laut dan udara ke atas wilayah Gaza pada 2006 selepas pejuang pemisah menyerang seorang askar Yahudi.
Sekatan itu diperketatkan pada pertengahan 2007 apabila Hamas merampas pentadbiran ke atas Gaza. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131029/lu_05/Genting-Gaza-rugi-AS230j#ixzz2j5DTICAA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment