Berpunca daripada sekatan ekonomi, serangan Israel
03 September 2015 12:33 AM
GAZA CITY 2 Sept. - Genting Gaza yang sering diserang Israel dan hampir sedekad mengalami sekatan ekonomi, mungkin ‘lenyap’ menjelang tahun 2020 sekiranya perkara itu berterusan.
Menurut laporan terbaharu oleh Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) semalam, risiko tersebut wujud disebabkan sekatan ekonomi selama lapan tahun oleh Israel dan tiga perang yang berlaku di Gaza dalam tempoh enam tahun lalu.
Jelas laporan itu, tahun lalu sahaja, lebih setengah juta penduduk Gaza terpaksa menjadi pelarian dan separuh wilayah itu musnah akibat serangan rejim Zionis.
“Serangan yang berlaku menyebabkan golongan kelas pertengahan terhapus dan hampir semua populasi di Gaza terjerumus ke kancah kemiskinan, sekali gus terpaksa bergantung kepada bantuan kemanusiaan antarabangsa.
“Keluaran dalam negara kasar (KDNK) di Gaza menurun sebanyak 15 peratus tahun lalu, dan kadar pengangguran mencapai rekod tertinggi iaitu 44 peratus selain 72 peratus isi rumah berisiko tidak mempunyai simpanan makanan,” lapor portal Al Jazeera yang memetik laporan itu.
Selain itu, laporan berkenaan menambah, peperangan yang berlaku di Gaza menjejaskan hasil eksport dan penghasilan produk bagi pasaran domestik akibat tidak mempunyai masa yang cukup untuk pembangunan semula.
Namun laporan tersebut menjelaskan, proses pembangunan semula wilayah Palestin tersebut telah dipercepatkan.
Sejak 2007, kerajaan Mesir dan Israel mengekalkan sekatan terhadap Gaza apabila pergerakan Hamas menguasai pentadbiran wilayah tersebut.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Hak Asasi Manusia untuk Palestin, Hamdi Shaqqura berkata, situasi kemanusiaan yang teruk di Gaza berpunca daripada kesilapan manusia sendiri, dan hanya boleh diselesaikan melalui dasar yang dicipta oleh manusia.
Jelasnya, sumbangan pihak antarabangsa banyak membantu penduduk Gaza, tetapi dasar politik yang jelas perlu dilaksanakan bagi menyalurkan bantuan dengan lebih berkesan.
“Usaha membantu Gaza bukan sahaja dengan cara menyalurkan wang yang banyak kerana wilayah ini mempunyai potensi yang besar dalam menjana ekonomi.
“Perkara yang menghalang pertumbuhan ekonomi adalah dasar rejim Zionis, sekatan, dan beberapa larangan lain yang dikenakan terhadap Gaza,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gaza-mungkin-8216-lenyap-8217-1.131102#sthash.gYpOpni0.dpuf
No comments:
Post a Comment