Dua kanak-kanak perempuan Palestin memakai anting-anting bernombor 68 dan klip rambut berbentuk kunci sebagai memperingati Hari Nakba di Ramallah, Tebing Barat, kelmarin. AFP
NEW YORK 15 Mei – Israel didakwa membunuh 25 orang kanak-kanak Palestin dalam tempoh tiga bulan terakhir tahun lalu sahaja, sekali gus mencetuskan persoalan tentang penggunaan kekerasan melampau terhadap kanak-kanak Palestin.
Yayasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran tentang keadaan tersebut, yang menyaksikan tentera rejim Zionis sering menjadikan kanak-kanak Palestin sebagai sasaran serangan atas alasan kumpulan tersebut cuba menyerang anggota keselamatan mereka.
“Kami amat bimbang dengan peningkatan kekerasan terutamanya insiden yang menyaksikan kanak-kanak Palestin ditembak mati oleh tentera Israel,” jelas agensi itu semalam.
Laporan UNICEF pada masa sama mendakwa, lebih 1,300 kanak-kanak Palestin cedera semasa peningkatan keganasan itu yang kebanyakannya berlaku di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Tempoh sama turut menyaksikan tiga kanak-kanak Israel cedera di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Barat.
UNICEF memetik contoh kejadian pada 25 Oktober lalu di Hebron, Tebing Barat, melibatkan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang ditahan tentera Israel bagi tujuan pemeriksaan, namun dia ditembak mati dengan lima das tembakan.
“Pihak berkuasa Israel mendakwa remaja itu cuba menikam seorang anggota polis. Namun, menurut saksi, remaja berkenaan tidak menunjukkan sebarang ancaman pada masa dia ditembak, malah menjerit menyatakan dia tidak memiliki pisau,” jelas agensi PBB itu.
Jumlah korban yang direkodkan bagi tempoh dari Oktober hingga Disember lalu amat tinggi, jika dibandingkan antara Julai dan September lalu yang menyaksikan hanya empat kanak-kanak Palestin dibunuh, manakala 165 lagi cedera.
UNICEF pada masa sama melahirkan kebimbangan tentang jumlah kanak-kanak Palestin berusia antara 12 dan 17 tahun yang ditahan tentera Israel dengan mendakwa jumlah itu meningkat kepada 422 orang pada penghujung Disember lalu, rekod tertinggi sejak Mac 2009.
Undang-undang Israel membenarkan kanak-kanak Palestin berusia dari umur 12 tahun dibicarakan.
Sejak gelombang keganasan meningkat di wilayah Palestin sejak Oktober lalu, sebanyak 204 penduduk Palestin dan 28 penduduk Israel terkorban. – AFP
No comments:
Post a Comment