Pejuang Hamas semalam menghantar mesej kepada rakyat Israel melalui sistem pesanan ringkas yang berbaur ancaman.
Ia dilakukan 10 tahun selepas ulama Hamas, Sheikh Ahmed Yassin terkorban dalam serangan udara yang dilakukan rejim Zionis itu.
Penduduk Israel dan wartawan yang berada menerima pesanan ringkas yang berbunyi: “Jika Gaza diserang, rakyat Israel akan menderita,” dan “Dalam peperangan seterusnya, semua tanah Palestin akan ditawan semula.” Sumber Hamas memberitahu perkara itu dilakukan Briged Ezzedine al-Qassam sempena ulang tahun ke-10 pembunuhan Ahmed.
Satu lagi mesej dihantar berbunyi: “Al-Qassam memilih kamu untuk menjadi Shalit seterusnya,” merujuk kepada tentera Israel, Gilad Shalit yang diculik dan ditahan selama lima tahun sebelum dibebaskan sebagai pertukaran kepada pembebasan 1,000 rakyat Palestin yang dipenjarakan Israel.
Mesej itu dikatakan dihantar dari telefon bimbit yang berbeza.
Semua nombor yang menghantar mesej itu gagal dihubungi kecuali yang dijawab oleh seorang lelaki Israel yang memberitahu taliannya diceroboh.
Emel majalah IsraelDefence juga digodam dan satu emel mengenai pembunuhan Ahmed dimuat naik.
Emel itu berbunyi: “Kami takkan lupa apa yang dilakukan ke atas beliau (Ahmed).
Kami bersumpah akan membalas dendam dan kali ini akan memenggal kepala pemimpin anda.
“Rejim Zionis membunuhnya menggunakan peluru berpandu dan kini peluru berpandu kami boleh menyerang setiap sudut Israel.” Ahmed, pengasas dan ulama Hamas terkorban dalam serangan udara Israel pada 2004.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23
No comments:
Post a Comment