Jenin: Tentera Zionis menembak mati empat warga Palestin awal pagi semalam dalam serbuan yang disusuli pertempuran dengan penduduk di sebuah bandar di Tebing Barat.
Ia keganasan paling buruk di wilayah Palestin itu sejak beberapa bulan lalu.
Kejadian berlaku dengan serbuan tentera Zionis yang bertujuan menangkap Hamza Abu el-Heija, anggota Hamas berusia 22 tahun yang dikehendaki kononnya kerana menyerang dan mengebom rakyat Israel.
Pegawai Palestin berkata, tentera Israel mengepung rumah Hamza di kem pelarian Jenin dan menyerbunya selepas pemuda itu enggan keluar.
Tembak-menembak kemudian menyusul.
Apabila penduduk sekitar keluar, tentera Zionis itu menembak mereka juga, menyebabkan tiga orang mati.
Kem pelarian berkenaan sering menjadi sasaran keganasan tentera Israel.
Ketika kebangkitan Intifada lebih 10 tahun lalu, tentera Zionis menyerang kem berkenaan untuk memusnahkan apa yang mereka kata sarang ‘pengganas.’
Puluhan warga Palestin terbunuh dalam kekejaman itu.
Ketegangan muncul semula sejak beberapa bulan lalu ekoran ketiadaan kemajuan dalam rundingan damai.
Pegawai Palestin berkata, tentera Israel menembak mati 57 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 900 lagi sejak rundingan damai disambung semula Julai lalu.
Ia tidak termasuk tiga orang yang dibunuhnya semalam.
Rakyat Palestin menuntut Tebing Barat, timur Baitulmaqdis dan Semenanjung Gaza menjadi wilayah negara Palestin merdeka.
Wilayah berkenaan ditawan oleh Israel dalam Perang 1967. Mereka mahu Israel bersetuju menjadikan sempadan muktamad negara Palestin berdasarkan kedudukan pada tahun berkenaan dan membenarkan rejim itu mengekalkan penempatan Yahudi di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis.
Tetapi Israel tetap angkuh dan degil, enggan berundur dari kawasan yang dijajahnya selepas 1967 selain memaksa Palestin mengiktirafnya sebagai negara Yahudi.- Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/23
No comments:
Post a Comment