NEW YORK - Sebuah dokumen sulit Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan rejim Zionis mencabul hak asasi kanak-kanak ketika Operasi Perlindungan Sempadan yang dilancarkan di Genting Gaza pada Julai lalu.
Laporan setebal 22 muka surat itu memaparkan kenyataan lantang Wakil Khas PBB, Leila Zerrouqui mengutuk perlanggaran hak asasi yang serius terhadap golongan itu ketika operasi ketenteraan besar-besaran tersebut.
Difahamkan, kira-kira 540 kanak-kanak terkorban ketika perang 50 hari terbabit lapor Reuters.
Susulan itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia (HRW) mendesak Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon menolak gesaan Israel dan sekutunya yang mahu melindungi kekejaman rejim Zionis.
"Beliau perlu menilai laporan itu berdasarkan fakta dan bukan atas sebab tekanan politik," kata Pengarah HRW, Philippe Bolopion.
Pada April lalu, laporan PBB menunjukkan Israel bakal berdepan dakwaan melakukan jenayah perang selepas hasil siasatan agensi itu mendapati rejim Zionis telah membedil tujuh sekolah PBB di Genting Gaza yang turut meragut sekurang-kurangnya 44 nyawa.