Tentera Israel berkata, serangan balas yang disasarkan terhadap kem latihan Hamas itu dilakukan selepas pergerakan Islam tersebut melancarkan serangan di sebuah kawasan terbuka di kawasan rejim Zionis, dengan tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dikeluarkan.
Jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan mengesahkan pi­haknya melancarkan serangan berkenaan.
Susulan daripada serangan itu, penggera amaran diaktifkan di bandar Ashkelon, kira-kira 10 kilometer di utara Gaza yang diduduki kira-kira 12,000 penduduk sebagai langkah berjaga-jaga sekira berlakunya serangan udara di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, kumpulan rangkaian kumpulan militan Negara Islam (IS), Briged Sheikh Omar Hadeed, mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut termasuk beberapa serangan lain di Israel.
Kumpulan tersebut melaporkan, serangan yang dilancarkan ke bandar Ashkelon didedikasikan kepada pejuang-pejuang Palestin yang dipenjarakan di Israel dan rakan-rakan mereka yang berada di bawah pengawasan pergerakan Hamas di Gaza.
“Penduduk Yahudi tidak akan berasa selamat selagi kami masih hidup,” jelas kenyataan briged berke­naan. – REUTERS